comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tular bakar mercun di jalan raya, lelaki miliki 7 rekod lampau ditahan 

KUALA LANGAT: Seorang lelaki ditangkap selepas dipercayai menyertai perarakan pengkebumian terbabit dalam insiden pembakaran mercun di persimpangan lampu isyarat berhampiran sebuah pasar raya di Pekan Banting di sini, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh laporan mengenai kejadian diterima pihaknya pada jam 2.28 petang semalam.

“Bertindak di atas maklumat itu, polis menangkap suspek seorang lelaki tempatan berumur 28 tahun yang mengambil bahagian dalam perarakan menaiki motosikal tanpa memakai helmet.

“Suspek dipercayai bersama beberapa individu bermotosikal lain yang menahan kenderaan awam serta membakar mercun.

“Semakan terhadap suspek yang bekerja sebagai pembantu bengkel di Banting itu mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan kes jenayah dan narkotik.

“Hasil saringan awal urin mendapati, suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Banting bagi tindakan lanjut.

“Pada masa sama, Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat juga mengeluarkan tiga saman terhadap suspek berkaitan kesalahan lalu lintas.

“Pihak polis juga sedang giat mengesan dua lagi suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata, polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Polis juga membuka dua lagi kertas siasatan atas kesalahan narkotik mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan  kesalahan trafik mengikut Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Katanya, polis menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat, diminta tampil ke Balai Polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-31872222,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini