comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Warga emas jala ikan terkejut jumpa mayat

SEREMBAN: Warga emas yang sedang menjala ikan dekat Sungai Linggi, Jalan Paroi- Senawang, dekat Paroi, di sini, terkejut apabila mendapati objek terapung yang dilihatnya adalah mayat manusia.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, lelaki yang ditemui tidak berbaju dan tanpa identiti itu dipercayai sudah meninggal dunia lebih 24 jam berdasarkan keadaan mayat.

Polis mengangkat mayat lelaki tanpa identiti yang ditemui dekat Sungai Linggi, Jalan Paroi- Senawang, dekat Paroi, di sini, petang tadi.-Foto: NSTP

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, berdasarkan pemerhatian awal, pihaknya mendapati lelaki berkenaan adalah warga tempatan dan berusia dalam lingkungan 40-an.

“Seorang lelaki yang menjala di kawasan ini membuat laporan polis mendakwa menemui mayat. Pasukan forensik ke lokasi dan mendapati mayat sudah mereput dan mengeluarkan bau.

“Berdasarkan keadaannya kami percaya lelaki ini sudah meninggal dunia lebih 24 jam. Mayat ditemui tanpa baju, tanpa dokumen dan hanya berseluar jeans,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Jelas beliau, pihaknya juga mendapati terdapat tatu pada lengan mayat, namun tidak dapat dikenalpasti jenis tatu kerana keadaannya yang sudah mereput.

“Sebelum ini mayat ini tiada di sini dan dipercayai mungkin hanyut dari hulu sungai. Ketika ini kami tidak dapat mengenalpasti sama ada terdapat sebarang kesan kecederaan pada mayat.

“Mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk bedah siasat. Identitinya juga mungkin akan diperolehi berdasarkan cap jari nanti,” katanya.

Tambah beliau, polis masih menjalankan siasatan sama ada kes berkenaan membabitkan jenayah atau sebaliknya dan menunggu laporan forensik.

“Boleh jadi juga dia memancing dan terjatuh lalu hanyut. Jadi saya meminta kepada sesiapa yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil ke balai polis untuk memberikan maklumat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini