comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Calon PN enggan ulas, isu latar belakang pendidikan


HULU SELANGOR: Calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut enggan mengulas lanjut isu latar belakang pendidikan yang dibangkitkan segelintir pihak.

Beliau sebaliknya menegaskan mahu memberikan perhatian kepada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu yang ditandinginya.

“Saya tidak mahu komen, saya mahu fokus lawan (berdepan tiga calon lain) dengan cara yang adil,” katanya.

Sebelum ini tular dakwaan bahawa poster mengenai biodata Pemangku Ketua BERSATU Hulu Selangor mencetuskan tanda tanya terutama mengenai latar belakang pendidikan calon berusia 54 tahun itu.

Berdasarkan maklumat tertera, beliau memperoleh Diploma Eksekutif Pengurusan dari Universiti Malaya (UM) pada 2019, sebelum disusuli ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) dua tahun kemudian.

Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar menerusi hantaran di laman Facebook mempertikaikan taraf pendidikan calon PN itu yang dikatakan ‘terlampau hebat’ kerana memiliki diploma dan ijazah dalam tempoh dua tahun.

Perkara itu turut menjadi perdebatan di laman sosial apabila rata-rata warga maya mempersoalkan proses pengajiannya yang didakwa tidak melalui peringkat biasa.

Ketika mengulas isu berkenaan, Pengerusi PN Selangor menangkap Pengarah Pilihan Raya Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kelulusan Khairul Azhari itu bukan perkara yang dinafikan memandangkan beliau sememangnya mengikuti semua program pengajian terbabit.

“Kelulusan itu bukan perkara yang beliau nafikan, kerana memang beliau mengikuti kursus-kursus yang berkenaan.

“Soal sama ada diiktiraf oleh kementerian (Kementerian Pengajian Tinggi) itu bukan menjadi pertimbangan mana-mana pelajar ataupun mereka yang mengambil kursus itu.

“Bagi mereka yang sudah ada pengalaman berkerja biasanya dia akan mengambil tempoh kursus eksekutif dalam tempoh yang singkat untuk memberi tumpuan dalam bidang tertentu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini