comscore
Tumpuan :
Sukan

Bukan satu pengakhiran – Pan Gon

Pan Gon masih optimis kebangkitan Harimau Malaya mengharungi baki dua perlawanan Kumpulan D. – Foto ihsan FAM

KUALA LUMPUR: Mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan 0-2 kepada Oman pada perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam tadi, Ketua jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon tetap optimis peluang anak-anak buahnya untuk meneruskan kemaraan.

Bagi Pan Gon kekalahan semalam bukan satu pengakhiran buat Harimau Malaya walaupun kini perlu mengharap keajaiban pada dua  baki perlawanan menentang Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun dan Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun.

“Ini perlawanan yang sangat sukar.. sebagai ketua, sebagai jurulatih, mohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana kami tidak dapat beri anda kebanggaan, maksud saya keputusan yang lebih baik.

“Kami masih mempunyai dua lagi perlawanan jika ada keajaiban kami masih mempunyai peluang. Lebih baik jangan berputus asa dan kita akan berjuang sehingga ke akhirnya,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Harimau Malaya memerlukan keajaiban bangkit pada dua baki perlawanan selepas ini.- Foto ihsan FAM

Pengendali dari Korea Selatan itu juga yakin pemain negara mampu menggunakan peluang sebaiknya untuk mempamerkan kebangkitan sekembalinya mereka ke pangkuan kelab masing-masing apabila saingan Liga Malaysia (Liga-M) membuka tirai Mei ini.

Kekalahan semalam menyaksikan Malaysia kekal di kedudukan ketiga kumpulan dengan mengumpul enam mata manakala Kyrgyzstan yang mengatasi Taiwan 5-1 pada satu lagi aksi malam tadi, di tangga teratas  berdasarkan kelebihan jaringan meskipun terikat sembilan mata bersama Oman.

Taiwan tercorot tanpa sebarang mata selepas empat perlawanan.

Dalam pada itu, jurulatih Oman Jaroslav Silhavy, gembira dengan kemenangan 2-0 yang dilakar pasukannya ke atas Malaysia walaupun mengakui mampu untuk menang besar dalam perlawanan itu.

“Perlawanan ini agak sukar kerana Malaysia turut mahu menebus kekalahan di Oman. Kami juga berjaya mengawal permainan dengan baik.

“Walaupun kami melepaskan beberapa peluang, tetapi saya gembira dengan permainan pasukan,” katanya.

Apa yang pasti perlawanan kelima Kumpulan D pada 6 Jun nanti akan memberi gambaran lebih jelas persaingan tiga pasukan Kyrgyzstan, Oman dan Malaysia untuk meneruskan kemaraan.

Malaysia memerlukan usaha berlipat ganda berkunjung ke Bishkek menentang Kyrgyzstan.

Oman pula dijangka tidak berdepan masalah untuk meraih mata ke-12 menewaskan Taiwan meskipun beraksi di arena lawan.

Perlawanan terakhir Kumpulan D berlangsung pada 11 Jun, Malaysia menentang Taiwan di Bukit Jalil manakala Oman beraksi di tempat sendiri bertemu Kyrgyzstan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini