comscore
Tumpuan :
Sukan

ESPORTS: Selangor Red Giants tundukkan Homebois

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

PETALING JAYA: Selangor Red Giants (SRG) tampil dengan persembahan cukup mengujakan pada aksi pembukaan MPL MY musim ke 13 apabila gah menundukkan juara bertahan, Homebois menerusi kemenangan 2-0.

SRG yang dibarisi Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Hazziq Danish Mohamad Rizwan (Stormie), Muhammad Qayyum Ariffim Mohd Suhairi (Yums) dan dua pemain import dari Filipina, John Vincent Banal (Innocent) dan Mark Genzon Sojero Rusiana (Kramm) jelas bermain cukup kemas untuk mengatasi Homebois.

Pasukan Selangor Red Giants

‘Game’ pertama, penguasaan awal terus disajikan SRG terutamanya menerusi Innocent yang menggunakan hero ‘Roger’.

Memang nyata cukup sukar buat Homebois mengekang aksi Innocent yang tampil sangat cemerlang menerusi 14 ‘kills’ yang dilakarnya.

Dan memasuki minit ke 16, kristal pasukan Homebois berjaya dimusnahkan, memberi kemenangan pertama kepada pasukan SRG.

Tidak mahu aksi cemerlang Innocent terus berleluasa, Homebois bertindak mengunci ‘Roger’ pada game kedua.

Bagaimanapun, Innocent yang memilih hero ‘Karrie’ pada pusingan ini tetap tampil dengan aksi cukup berbisa.

Bukan hanya Innocent, tetapi seluruh pasukan SRG menyajikan permainan cukup kemas apabila menutup aksi dengan jumlah 10 ‘kills’ tanpa balas dengan Innocent turut cemerlang mencipta 5 ‘kills’.

Sekaligus Innocent turut diangkat sebagai pemain paling bernilai untuk perlawanan pembukaan ini.

Kemenangan 2-0 yang diraih cukup bermakna buat SRG bagi memulakan musim baharu MPL MY kali ini.

“Saya sangat gembira kerana ketika bermain di MPL PH, saya tidak dapat bermain di playoff, tetqpi d3ngan pasukan saya sekarang ini, saya sangat yakin, bukan hanya layak ke playoff, tetapi juga menjadi juara untuk musim ini,” kata Innocent selepas perlawanan.

MPL MY musim ke 13 menyaksikan penyertaan 10 pasukan yang akan berjuang bagi merebut 6 slot ke peringkat playoff.

Dan juara, selain membawa pulang hadiah wang tunai USD25,000, turut akan meraih slot automatik ke Kejohanan MLBB Piala Asia Tenggara (MSC 2024) yang akan berlangsung di Riyadh, Arab Saudi Jun nanti dan turut menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah USD3 juta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini