comscore
Tumpuan :
Sukan

Perseorangan Hong Kong seimbang, semangat kita lebih tinggi – Aaron

Aaron (kanan) dan skuad Piala Thomas negara sebelum berlepas ke Chengdu, China. -Foto: BAM / Facebook

PETALING JAYA: Pemain beregu negara, Aaron Chia berkata, Malaysia  harus memanfaatkan pertemuan di Gimnasium Pusat Sukan Zon Hi-Tech itu untuk memperoleh kemenangan biarpun sedar Hong Kong mempunyai kelebihan dari aspek pemain perseorangan.

“Saya rasa mereka mempunyai beberapa pemain perseorangan yang baik tetapi kita tetap memiliki kelebihan berbanding mereka.

“Kemampuan perseorangan mereka boleh dikatakan seimbang namun paling penting pasukan kita jauh lebih bersemangat dan saya rasa tiada masalah untuk mengatasi Hong Kong,” ujar Aaron.

Skuad Piala Thomas negara bakal memulakan saingan di Chengdu, China esok bertemu Hong Kong dalam Kumpulan D.

Tambah Aaron kemenangan ke atas Hong Kong sudah pasti memberi motivasi buat pasukan untuk membuka peluang melangkah lebih jauh dalam kejohanan kali ini sekaligus menebus kehampaan sekadar ke suku akhir pada edisi 2022 di Thailand.

“Kita sudah biasa dalam banyak acara berpasukan seperti di Sukan Asia, Sukan SEA, berpasukan campuran… apa yang paling penting buat saya adalah komunikasi dalam pasukan,” kata Aaron.Aaron yang bergandingan bersama Soh Wooi Yik.

Istimewanya  Piala Thomas bagi Aaron, ia menjadi satu-satunya kejohanan besar yang belum dirasainya bersama pasangan untuk berada di pentas podium dan itu berada dalam senarai impiannya.

“Sudah tentu kali ini saya nak dapatkan pingat, tak kiralah apapun warnanya,” kata Aaron mengenai edisi ke-33 itu yang menyaksikan Malaysia turut diundi bersama juara 2016, Denmark dan Algeria dalam Kumpulan D.

Aaron turut mengakui Denmark memiliki kekuatan seimbang dalam acara perseorangan dan beregu dan sebagai ‘underdog’ Malaysia juga berkemampuan untuk melakukan yang terbaik.

Sebagai rekod skuad negara pernah menjulang Piala Thomas sebanyak lima kali iaitu pada 1949, 1952, 1955, 1967 dan kali terakhir memenanginya pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Pada edisi terakhir di Bangkok, Thailand dua tahun lalu, skuad Piala Thomas tersingkir di suku akhir di tangan  India 2-3.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini