comscore
Tumpuan :
Aduan Rakyat

[VIDEO] PPR Usang, Kotor, “Sampah Terbang” hantui penghuni

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

PETALING JAYA : Persekitaran yang jijik dan kotor dengan air longkang bertakung selain sampah serta barangan dicampak sesuka hati dari unit kediaman.

Senario itu berlaku di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, Taman Putra Damai di Petaling Jaya, Selangor yang memerlukan perhatian pihak berkuasa.

PPR usang itu juga tidak diselenggara dan mengalami pelbagai kerosakan.

Ketika tinjauan dilakukan, sampah seperti plastik, mangga pintu dan juga lampin bayi dibuang ke bawah oleh penghuni hingga ada yang terkena pada kenderaan.

Dakwa penduduk, Mohd Roslan Adnan,45, sebelum ini ada penghuni yang tidak bertanggungjawab mencampak barangan berbahaya seperti botol kaca dan televisyen.

Malah kami juga nyaris terkena air busuk dan sampah yang dibuang dari blok berkenaan.

“Kita tidak dapat kesan dari unit yang mana mereka buang bateri daripada atas,  terkena kereta dan membawa kerugian pada tuan kenderaan.

“Ada yang membuang televisyen daripada belakang, dan merosakkan bahagian ‘awning’ rumah penghuni, ” jelas Mohd Roslan.

Penghuni di PPR ini tidak hanya berdepan masalah ‘sampah terbang’, tetapi risiko demam denggi akibat longkang tersumbat yang mengundang pembiakan nyamuk aedes.

Penutup longkang yang tercabut turut mengundang bahaya berikutan terdapat taska beroperasi di PPR berkenaan.

Sementara itu masalah paip pecah yang mengalirkan air sinki  menyebabkan bau busuk.

Pengerusi penduduk, Aziz Hashim, 58, juga memberitahu pelbagai aduan telah dilakukan kepada pihak bertanggungjawab, namun sehingga kini masih tiada khabar berita.

“Kita dah buat aduan tetapi maklum balas tidak diterima oleh mereka, jadi ia membawa masalah kepada kami.

“Pelbagai perkara sudah kita buat, sehinggakan semua kita urus sendiri termasuk, lampu semua kita betulkan sendiri sahaja,” ujar Aziz.

Lebih merumitkan keadaan, masalah kerosakan lif sejak 2017 juga dihadapi penghuni di PPR ini.

Selain kemudahan lif yang tidak berfungsi, penduduk juga mengeluh kerana isu pemegang tangga sudah tercabut mendatangkan risiko jika tidak dibaiki dengan segera.

Sementara itu, seorang penghuni yang tinggal di tingkat 16 , mengeluh seperti mendiami rumah yang tidak berbumbung kerana dibanjiri air hujan akibat siling bocor sejak tiga tahun lalu.

Jelas Kalaiwani Kesawan, 48, dia yang tinggal berdua bersama anak lelakinya memberitahu, setiap kali hujan , mereka tidak boleh berbuat apa-apa melainkan menolak air, selepas hujan berhenti agar kelengkapan rumah tidak terejas.

“Pada awalnya air tersebut hanya di bilik pertama sahaja, sekarang dapur sekali terkena, saya punya barang semua sudah rosak dan ketika hujan tidak boleh masak atau ke dapur,” kata Kalaiwani.

Masalah yang dihadapi penghuni kami kemukakan kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.

Beliau yang ditemui berkata,satu pendekatan yang lebih komprehensif perlu diambil dan beliau mencadangkan kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), supaya mewujudkan sebuah badan bertindak yang melibatkan penduduk.

“Setiap blok adanya wakil, setiap tingkat adanya wakil, supaya kita sama sama mengambil tanggungjawab terhadap tempat yang kita duduki dan tinggal agar dapat memperbaiki keadaan ,” ujar Chean Chung ketika ditemui.

Katanya, tinjauan telah dilakukan ke PPR itu bersama Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, 23 Jun lalu.

Hasil tinjauan di lapan blok berkenaan mendapati, beberapa kawasan memerlukan penaiktarafan dan penyelenggaraan dengan segera.

Beliau memaklumkan, peruntukan RM 1,809,370 telah diberikan untuk kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan.

Ia termasuk baik pulih dua unit kediaman yang terbakar sebelum ini, sebanyak RM110,000 kerja pendawaian elektrik RM775,000, memperbaiki lif rosak RM178,330 serta penggantian susur tangan untuk tangga berjumlah RM746,040.

Chean Chung menambah kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan dijangka siap Ogos ini.

Loading...
Terkini