comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 50 peratus flat kos rendah di Johor Daif

JOHOR BAHRU: Lebih 50 peratus daripada flat kos rendah berusia kira-kira 30 hingga 40 tahun di negeri ini berada dalam kategori uzur dengan pelbagai masalah penyelenggaraan seperti yang dizahirkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan khas untuk menyelenggara flat awam yang bermasalah.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor melawat keadaan flat kos rendah di Taman Ungku Tun Aminah – FOTO: NSTP

Beliau berkata, selain isu kebersihan, antara masalah lain dihadapi termasuk kebocoran bumbung, sistem pendawaian dan perpaipan.

Menurutnya, flat kos rendah atau flat awam ini berbeza dengan Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Rumah Sewa Kerajaan (RSK) yang memiliki peruntukan khas kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Katanya, di seluruh Johor, terdapat lebih 100 projek flat awam dan mengikut data 100 daripadanya terletak dalam kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB); Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP); Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) serta Majlis Perbandaran Kulai (MPkU).

Mohd Jafni berkata, selama ini tiada peruntukan khas kerajaan buat flat awam kerana ia merupakan kediaman swasta yang diuruskan penduduk menerusi penubuhan Badan Pengurusan Bersama (JMB).

Tambah beliau, MBIP akan menubuhkan suatu jawatankuasa khas disertai beberapa agensi berkaitan bagi menangani masalah flat awam yang kotor dan uzur dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Ambil contoh Flat Taman Ungku Tun Aminah ini, di sini terdapat 44 blok dengan 4,085 unit rumah, ia merupakan antara flat dengan jumlah kepadatan penduduk yang tinggi di Johor.

“Ia juga merupakan antara flat awam tertua di negeri ini kerana dibina pada tahun 1985, hampir 40 tahun usianya kini.

“Perkara ini perlu dilakukan secara berfasa kerana untuk membaik pulih flat awam, ia memakan kos yang sangat besar, di kawasan ini sahaja dianggarkan lebih RM10 juta, flat awam di Saujana membabitkan kos RM13juta manakala flat awam di sekitar EDL pula melibatkan kos RM21juta,” katanya.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan kekecewaan baginda dengan tahap kebersihan dan penyelenggaraan flat kos rendah di negeri ini.

Baginda bertitah, kebanyakan flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif serta dipenuhi pelbagai sampah sarap yang dibuang merata-rata hingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa.

Loading...
Terkini