comscore
Tumpuan :
Bencana

Kejadian Bencana Kepala Air Ubah Landskap Kampung Iboi

BALING: Kejadian bencana aliran puing yang meragut nyawa dan memusnahkan kediaman di Kampung Iboi, nyata berubah landskap perkampungan itu selepas Sungai Kupang menjadi semakin lebar.

Tinjauan di Lata Chelak semalam, mendapati sungai itu mengalami perubahan ketara selepas kejadian pada 4 Julai lalu, dengan kerja mengorek pasir dan membersihkan sungai sedang giat dilakukan.

Penduduk, Mohd Noor Dolah, 65, berkata bahagian hilir sungai di kampung itu menjadi lebih luas selepas bahagian daratan seperti surau dihanyutkan air kini menjadi tempat laluan air sungai.

Katanya, paras air sungai di Lata Celak juga kini menjadi cetek dan berpasir sehingga tidak lagi menjadi secantik dahulu.

“Dulu ada pelbagai kemudahan untuk orang ramai berkelah dan berkhemah, sekarang ia lenyap jadi laluan air, kami di sini tidak tahu nasib kami, mungkin suatu hari nanti saya juga perlu pindah ke tempat lain.

“Ramai jiran meninggalkan rumah dan menyewa di tempat lain kerana takut rumah mereka dihanyutkan air, ada rumah yang dulu tidak dimasuki air tapi selepas kejadian itu terdapat anak sungai di tepi rumahnya.

“Kejadian banjir sebelum ini mengubah landskap kawasan terjejas, kami di sini masih trauma dan bimbang kejadian yang sama berulang,” katanya yang kini tiada sumber pendapatan selepas pokok getah yang diusahakan musnah dalam kejadian banjir sebelum ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang 4 Julai lalu, tiga sekeluarga termasuk wanita empat bulan terkorban dan memusnahkan 17 buah rumah dan 800 lagi terjejas.

Bapa kepada enam orang anak itu berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan segera kerana hampir keseluruhan Sungai Kupang yang membabitkan puluhan kampung sudah cetek.

“Sekiranya hendak lakukan proses korek pasir sepanjang sungai ia satu perkara yang mustahil, di Lata Chelak juga pasir sudah ‘menggunung’ dikorek tapi ada lagi pasir dari Gunung Inas yang turun apabila hujan.

“Sebagai langkah jangka pendek, tanaman tutup bumi perlu ditanam bagi mengelak hakisan tanah bertambah buruk, kami di kampung mungkin tidak berpelajaran tinggi tapi langkah seperti ini dilakukan di tempat lain dan saya rasa ramai yang tahu mengenai kaedah ini,” katanya.

Bagi Abdullah Ahmad, 65, pula berkata usaha mengorek pasir di Sungai Kupang sedang giat dijalankan sehingga timbunan pasir memenuhi tebing dan menunggu masa untuk dipindahkan.

“Beberapa hari lalu cuaca agak baik menyebabkan air sungai agak jernih, namun petang kelmarin dan semalam hujan dan air sungai kembali keruh.

“Saya rasa kagum dengan usaha yang dilakukan pihak kontraktor untuk mengorek dan memindahkan pasir, tidak silap saya dalam tempoh lebih sebulan baru tujuh hari mereka bercuti. Sekiranya tiada usaha mengorek dan memindahkan pasir dibuat, berkemungkinan sungai semakin cetek dan pasir menutupi jambatan Bailey.
“Kuasa alam kita tidak tahu apa yang boleh berlaku, tapi kami di sini tetap bimbang kerana keadaan cuaca yang tidak menentu selain peralihan monsun timur laut tidak lama lagi, hujan yang banyak akan menyebabkan banjir mungkin berulang,” katanya yang rumahnya hampir musnah dalam kejadian lalu.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini