comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

34.7 peratus pekerja formal dapat gaji bawah RM2,000

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Taburan upah pada Jun 2023 menunjukkan bahawa 34.7 peratus pekerja formal di Malaysia menerima gaji di bawah RM2,000, mencatatkan penurunan sebanyak 3.6 mata peratus daripada 38.3 peratus yang direkodkan pada bulan sama tahun lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata pada masa yang sama, kira-kira 7.9 peratus pekerja formal warganegara memperoleh gaji melebihi RM10,000.

“Sementara itu, analisis peratusan menunjukkan bahawa median (penengah) upah bulanan kumpulan penerima upah tertinggi sekurang-kurangnya lima kali lebih tinggi daripada median upah bulanan kumpulan penerima upah terendah dan sekurang-kurangnya tiga kali lebih tinggi daripada median upah bulanan kumpulan upah pertengahan.

“Tambahan pula, kategori pekerja dengan upah terendah mendapat peningkatan yang paling ketara sebanyak 17 peratus dari tahun ke tahun pada Jun 2023.

“Ini menunjukkan bahawa median upah bulanan bagi kumpulan ini telah meningkat secara ketara daripada RM1,282 pada Jun 2022 kepada RM1,500 pada Jun 2023,” katanya dalam kenyataan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal), Suku Tahun Kedua 2023 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini.

Mohd Uzir berkata, jumlah pekerja formal Malaysia pada Jun 2023 adalah seramai 6.6 juta orang, meningkat sebanyak 1.6 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Katanya, bilangan ini menyumbang hampir dua pertiga atau 64.3 peratus daripada jumlah keseluruhan bilangan pekerja bergaji warganegara yang bekerja dalam sektor formal.

“Pada masa yang sama, median upah bulanan pada Jun 2023 meningkat sebanyak 4.9 peratus tahun ke tahun kepada RM2,600,” katanya.

Memperincikan situasi upah mengikut negeri pada Jun 2023, Mohd Uzir berkata semua negeri menunjukkan pertumbuhan positif tahun ke tahun dari segi median upah bulanan.

Beliau berkata, tiga negeri merekodkan median upah bulanan yang lebih tinggi berbanding median upah nasional RM2,600 iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan median upah bulanan tertinggi sebanyak RM3,822, diikuti oleh Selangor sebanyak RM2,945 dan Pulau Pinang sebanyak RM2,645.

Loading...
Terkini