comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Jumlah penganggur turun 6.3 peratus pada suku ketiga

Pasaran buruh negara terus berkembang selaras dengan pertumbuhan ekonomi. FOTO: NSTP / Mohamad Shahril Badri Saali

PUTRAJAYA: Bilangan penganggur berkurang 6.3 peratus kepada 573,000 orang pada suku ketiga 2023 berbanding 611,800 orang pada suku sama tahun lalu, membolehkan kadar pengangguran negara berada pada 3.4 peratus untuk beransur-ansur kembali ke tahap prapandemik.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata selaras dengan pertumbuhan ekonomi, penawaran buruh kekal kukuh apabila kadar penyertaan tenaga buruh pada suku ketiga 2023 meningkat 0.7 mata peratus tahun ke tahun kepada 70.1 peratus.

“Bilangan tenaga buruh meningkat sebanyak 2.3 peratus untuk merekodkan 16.82 juta orang, terutamanya disumbangkan oleh kenaikan 2.7 peratus dalam penduduk bekerja,” katanya dalam satu kenyataan diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berhubung Sorotan Pasaran Buruh, Suku Ketiga 2023.

Pasaran buruh negara terus berkembang pada suku ketiga 2023 apabila mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh tertinggi pada 70.1 peratus.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata kenaikan permintaan buruh yang didorong oleh industri dipengaruhi oleh peningkatan bagi guna tenaga yang disumbangkan oleh perkembangan dalam pasaran domestik, seterusnya membawa kepada situasi pengangguran yang lebih baik.

“Di sebalik ketidaktentuan landskap ekonomi global, ekonomi Malaysia berkembang 3.3 peratus pada suku ketiga tahun 2023, setelah mencatatkan pertumbuhan 2.9 peratus pada suku sebelumnya,” katanya.

Mengulas mengenai situasi permintaan buruh pada suku ketiga 2023, Mohd Uzir berkata jawatan dalam sektor ekonomi meningkat sebanyak 2.6 peratus kepada 8.9 juta jawatan berbanding 8.58 juta pada suku sama tahun lalu.

Beliau berkata, jawatan diisi merangkumi 97.9 peratus daripada jumlah jawatan meningkat sebanyak 2.7 peratus kepada 8.71 juta, manakala peluang pekerjaan dalam ekonomi ditunjukkan oleh bilangan kekosongan jawatan yang menyumbang 2.1 peratus daripada jawatan, menurun sedikit 0.2 peratus kepada 190,900 kekosongan.

“Lebih separuh daripada kekosongan pada suku ketiga tahun 2023 adalah dalam sektor pembuatan, yang menyumbang 107,900 kekosongan, sebahagian besarnya dalam subsektor produk elektrik, elektronik & optik yang merekodkan 33.8 ribu kekosongan jawatan.

“Situasi permintaan buruh yang stabil pada suku berkenaan juga ditunjukkan oleh peningkatan 4.8 peratus bagi bilangan pewujudan jawatan untuk memenuhi keperluan industri, merangkumi 32,000,” katanya.

Merumuskan keadaan semasa, Mohd Uzir berkata pasaran buruh Malaysia menunjukkan prospek yang memberangsangkan sepanjang suku ketiga 2023, yang patut diberi perhatian di sebalik ketidaktentuan ekonomi global.

Loading...
Terkini