comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

AirAsia Group bakal disenarai di Bursa Malaysia pada September

Tony dalam satu sidang media khas di Kuala Lumpur, hari ini,- Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd (AirAsia Group) akan disenaraikan di Bursa Malaysia pada September ini, mengambil alih status penyenaraian AirAsia X.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes, berkata AirAsia Group adalah gabungan syarikat penerbangan di bawah AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL), terdiri daripada anak syarikat AirAsia di Thailand, Indonesia, Filipina dan tidak lama lagi Kemboja, bersama AirAsia Bhd (AAB) yang mengendalikan operasi di Malaysia.

“Penggabungan ini adalah bagi menyeragamkan operasi dengan menyasar untuk menjadi syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di Asia dengan strategi ‘One Airline’ yang akan mentransformasi perjalanan kos rendah global,” katanya pada majlis pengumuman khas Capital A di sini, hari ini.

Tony berkata, Capital A dan AirAsia Group menandatangani perjanjian bersyarat untuk pelupusan strategik Capital A dan pemerolehan strategik AirAsia Group dalam bidang penerbangan.

Beliau yang juga Penasihat AirAsia Group berkata, perjanjian yang mendapat sokongan daripada lembaga pengarah Capital A dan AirAsia Group itu dijangka membuka era baharu pertumbuhan bagi AirAsia, mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam industri penerbangan tambang rendah di peringkat global.

“Selepas ini, AirAsia Group akan menjadi entiti yang menguruskan perniagaan penerbangan kumpulan melalui penggabungan aktiviti penerbangan Capital A dan AirAsia X, selain AirAsia Thailand dan AirAsia X Thailand.

“Capital A dan AirAsia X juga akan membentangkan resolusi penggabungan ini pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kedua-dua syarikat dalam masa terdekat,” katanya.

Menurut terma perjanjian dan tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan, transaksi itu membabitkan dua bahagian iaitu penjualan AAAGL akan ditunaikan melalui penerbitan saham baru AirAsia Group kepada Capital A dengan nilai RM3 bilion.

Selepas penjualan itu, Capital A akan segera mengagihkan saham AirAsia Group bernilai RM2.4 bilion kepada pemegang saham Capital A.

Setelah pengagihan dalam bentuk saham, Capital A akan memegang 18.39 peratus saham dalam AirAsia Group.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini