comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

AirAsia X gagal mohon keluar status PN17

AirAsia X Bhd (AAX)

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Securities Bhd menolak permohonan AirAsia X Bhd (AAX) untuk dilepaskan dari Nota Amalan 17 (PN17) dan sebaliknya memberikannya sehingga 17 Januari 2024 untuk menyerahkan pelan regularisasinya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, AAX berkata ia akan mempertimbangkan semua pilihan yang ada (termasuk kemungkinan membuat rayuan) dan akan mengumumkan tindakan seterusnya yang mahu diambil dalam masa terdekat.

Katanya, Bursa Malaysia melalui surat bertarikh 18 Oktober 2023, mengesahkan bahawa ia telah memutuskan untuk menolak permohonan syarikat untuk cadangan pelepasan & penarikan PN17; dan memberikan lanjutan masa kepada syarikat sehingga 17 Januari 2024 untuk menyerahkan Pelan Cadangan Regularisasi kepada pihak berkuasa kawal selia.

AAX pada 20 Julai lalu memohon pelepasan daripada Bursa Malaysia untuk mengecualikan syarikat penerbangan itu daripada keperluan mengemukakan Pelan Cadangan Regularisasi syarikat. Ia adalah seperti yang dikehendaki di bawah Perenggan 8.04(3)(A) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR) Bursa Securities (Cadangan Pelepasan).

Syarikat penerbangan jarak jauh milik Capital A Bhd itu juga menuntut penarikan balik AAX daripada diklasifikasikan sebagai PN17.

AAX kembali mencatat keuntungan dengan meraih keuntungan bersih sebanyak RM5.54 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (suku kedua tahun kewangan 2023), daripada kerugian bersih RM652.52 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Hasil syarikat penerbangan tambang jarak jauh dan tambang rendah itu juga melonjak kepada RM512.91 juta daripada RM107.18 juta sebelumnya, lebih empat kali lebih tinggi tahun ke tahun, didorong oleh pemulihan operasi penerbangan berjadual syarikat itu dengan lebih banyak pesawat telah kembali beroperasi.

Loading...
Terkini