comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

AirAsia X sudah serah permohonan akhiri status PN17

KUALA LUMPUR: AirAsia X Bhd (AAX) telah menyerahkan permohonan kepada Bursa Malaysia Securities Bhd pada Khamis bagi mendapatkan pengecualian daripada keperluan mengemukakan pelan cadangan regularisasi serta dikeluarkan daripada klasifikasi Nota Amalan 17 (PN17).

Dalam kenyataannya, syarikat itu berkata sejak tempoh mencetuskan kriteria di bawah PN17 pada 30 Julai, 2020, ia telah bertindak melaksanakan pelbagai langkah dan usaha korporat bagi memulihkan kedudukan kewangannya.

Menerusi usaha secara berterusan, AAX berjaya memulihkan kedudukan kewangannya daripada mengalami kerugian dalam 12 suku tahun sejak suku berakhir pada 30 Jun, 2019 untuk mampu mencatat keuntungan bersih bagi tiga suku berturut-turut pada suku berakhir 30 Sept, 2022 dan 31 Mac, 2023 selain mencatat ekuiti pemegang saham yang positif setakat 31 Mac, 2023.

Menurutnya, berdasarkan daripada peningkatan operasi dan kewangan tersebut, AAX tidak lagi mencetuskan mana-mana kriteria di bawah Perenggan 2.1 PN17, khususnya selepas ekuiti pemegang saham beralih kepada positif manakala juruaudit luar telah memberi pendapat jelas mengenai kedudukan kewangan syarikat tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif AAX Benyamin Ismail berkata AAX telah mencatat prestasi operasi serta kewangan yang semakin baik sejak April 2022 dan seiring dengan peningkatan permintaan yang merangkumi semua pasaran utama.

“Pemulihan permintaan bagi perjalanan udara turut ketara bagi tempoh tiga suku sebelumnya apabila merekodkan faktor muatan penumpang masing-masing pada 73 peratus, 79 peratus dan 80 peratus bagi tempoh berakhir 30 Sept, 2022; 31 Dis, 2022 dan 31 Mac, 2023.

“Kami juga dapat memaksimumkan pemulihan kesemua segmen hasil walaupun beberapa pesawat kami sebaliknya masih berada di lapangan,” katanya.

Benyamin berkata setakat 31 Mac, 2023, kedudukan tunai AAX juga positif iaitu RM192.37 juta tanpa sebarang hutang belum dijelaskan selain mempunyai modal kerja mencukupi bagi tempoh 12 bulan.

Selain itu, susulan selesainya penempatan agregat 32.26 juta saham baharu kepada AHAM Asset Management Bhd, AIIMAN Asset Management Sdn Bhd dan Lavin Group Sdn Bhd pada harga RM1.55 sesaham, AAX telah berjaya mengumpulkan hasil bersih kira-kira RM50 juta yang hanya mengukuhkan kedudukan ekuiti AAX.

“Ini menjadi platform bagi mewujudkan semula asas ekuiti yang kukuh secara beransur-ansur dan bukti peningkatan keyakinan terhadap AAX dengan prospek masa depan yang kukuh,” katanya.

BERNAMA

Loading...
Terkini