comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Jumlah penumpang AirAsia X melonjak 70 kali ganda

SEPANG: AirAsia X Bhd membawa 621,984 penumpang pada suku kedua tahun ini, lonjakan luar biasa 70 kali ganda berbanding hanya 8,866 penumpang dalam tempoh sama setahun lalu.

Perbandingan dari segi suku tahunan pula menyaksikan jumlah penumpang yang dibawa oleh AirAsia X pada suku berkenaan meningkat sebanyak 23 peratus berbanding suku pertama tahun ini.

Pada suku kedua tahun ini, syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu melaporkan bahawa kapasiti tempat duduk turut meningkat lebih 26 kali ganda berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 818,422 tempat duduk disediakan apabila pesawat tambahan dibawa untuk beroperasi dengan rangkaian penerbangan terus diperkukuhkan.

AirAsia X dalam satu kenyataan berkata, syarikat turut menunjukkan peningkatan operasi yang ketara merentasi semua metrik utama lain, dengan mencapai faktor muatan penumpang sebanyak 76 peratus, meningkat 47 mata peratusan berbanding hanya 29 peratus pada suku sama berakhir 30 Jun 2022.

“Sepanjang 12 bulan lalu, operasi syarikat telah menjadi normal, apabila melaporkan pertumbuhan memberangsangkan 25 kali lebih tinggi kilometer kapasiti tempat duduk tersedia (AS),” katanya.

Saiz armada AirAsia X setakat akhir Jun tahun ini merangkumi 17 pesawat A330, dengan 11 pesawat kini diaktifkan dan beroperasi.

Sementara itu, jumlah armada AirAsia X Thailand adalah lapan A330, dengan lima pesawat diaktifkan dan beroperasi.

Loading...
Terkini