comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Alliance Bank bekerjasama dengan SJPP lanjut pembiayaan RM1 bilion kepada PKS

 Chui (dua dari kiri) bersama Juanita Rusmini (tiga dari kiri) pada majlis memeterai perkongsian strategik Alliance Bank dan SJPP

KUALA LUMPUR:  Alliance Bank Malaysia Bhd dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP), syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan akan melanjutkan pembiayaan RM1 bilion menerusi skim jaminan bagi mempercepat pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Alliance Bank dalam kenyataan hari ini berkata berkata skim jaminan yang terkandung dalam kerjasama itu termasuk Skim Jaminan Kerajaan Pemulih yang membolehkan perniagaan mengakses pembiayaan sehingga RM20 juta tanpa cagaran untuk membiayai perbelanjaan modal, operasi perniagaan harian dan aktiviti perdagangan.

Skim lain yang akan turut ditawarkan adalah Skim Jaminan Modal Kerja dan Skim Jaminan Modal Kerja – Start Up untuk membantu PKS di seluruh sektor dalam memenuhi keperluan perniagaan yang berbeza apabila berkembang, katanya.

Ketua Pegawai Perbankan PKS dan Komersial kumpulan Alliance Bank Raymond Chui berkata di bawah strategi Acceler8, bank itu akan meneruskan momentumnya dalam segmen ini, dan kerjasama lanjutan dengan SJPP ini akan memungkinkan pertumbuhan PKS tempatan menerusi penyelesaian pembiayaan bersasar.

“Kami berharap dapat bekerjasama secara aktif dengan skim SJPP untuk menyediakan saranan nilai yang unik bagi memenuhi keperluan PKS di setiap peringkat kitaran dan membantu mereka mencapai matlamat perniagaan,” katanya.

Selain skim-skim berkenaan, Alliance Bank dan SJPP turut mempermudah akses terhadap skim Kemudahan Peralihan Kepada Rendah Karbon (LCTF) Bank Negara Malaysia bagi peralihan PKS ke arah amalan perniagaan yang lebih mampan.

Menurut Alliance Bank, LCTF membolehkan PKS memperoleh pembiayaan tanpa cagaran bagi pembelian dan pemasangan sistem tenaga solar dengan kadar pembiayaan mampu milik.

“Bank ini kekal komited untuk membantu perniagaan melaksanakan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus untuk meraih manfaat daya saing dan menyasarkan untuk menyokong penggunaan LCTF bagi menggalakkan penjanaan tenaga boleh baharu,” katanya.– BERNAMA

Loading...
Terkini