comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

RHB perkenal skim pembiayaan hijau untuk PKS

 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: RHB Banking Group memperkenalkan skim pembiayaan hijau bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan sasaran pembiayaan mampan berjumlah RM1.5 bilion kepada perniagaan menjelang 2024.

Pengarah Urusan Perbankan Komuniti Kumpulan RHB Banking Group, Jeffrey Ng, berkata kumpulan itu akan menggiatkan usahanya untuk menyokong dan membantu PKS mengguna pakai amalan mampan pada 2023 menerusi perkongsian pengetahuan, nasihat serta produk dan perkhidmatan inovatif.

“Ini sebahagian daripada komitmen kami di bawa Strategi dan Pelan Hala Tuju Kemampanan lima tahun kami.

Setakat Disember 2022, RHB telah mencapai lebih RM14.5 bilion dalam perkhidmatan kewangan mampan yang mana ia melepasi asaran kami sebanyak 66 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ng berkata, skim itu membentuk sebahagian daripada Program Pembiayaan Mampan (SFP) sedia ada kumpulan yang menumpukan kepada tawaran produk hijau terdiri daripada lima skim pembiayaan.

Kemudahan pembiayaan itu akan menyediakan akses kepada modal kerja berjumlah sehingga 10 juta dengan tempoh pembayaran semula sehingga 10 tahun pada kadar keutamaan.

“Matlamat kami di bawah program ini termasuklah meningkatkan kesedaran dan mendidik PKS mengenai kepentingan untuk mengamalkan amalan hijau dan manfaat kewangan serta bukan kewangannya kepada perniagaan mereka,” katanya. — BERNAMA

Loading...
Terkini