comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ambank tawar moratorium kepada pelanggan terjejas banjir

AMMB Holdings Bhd (AmBank Group)

KUALA LUMPUR: AmBank Group sedia membantu dalam meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh pelanggan dan perniagaan termasuk kakitangannya berikutan banjir yang melanda baru-baru ini di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, berkata pihaknya sedia maklum sekarang adalah masa yang sangat mencabar bagi komuniti yang terjejas akibat kemusnahan banjir.

“Kami juga amat prihatin dengan kesukaran yang dihadapi rakyat Malaysia sama ada individu atau perniagaan yang terjejas.”Kami juga sedia maklum bahawa mereka mempunyai keutamaan lain yang lebih penting disamping keperluan kewangan pada ketika ini.

“Bank komited untuk menyediakan bantuan banjir kepada semua pelanggan yang terjejas melalui Program Bantuan Banjir kami. Program ini menyediakan bantuan yang disasarkan kepada pelanggan yang layak yang sedang bergelut dengan kesan akibat banjir,” katanya.

Menurut beliau, pelanggan yang terjejas ditawarkan bantuan bayaran balik sehingga enam bulan untuk semua pinjaman dan kemudahan pembiayaan termasuk kemudahan kad kredit, tanpa caj lewat atau penalti dikenakan sepanjang tempoh bantuan bayaran balik.

Selain itu, pelanggan yang berhasrat untuk menukar buku simpanan, buku cek, sijil simpanan tetap, kad ATM, Kredit dan Debit akan di berikan pengecualian daripada semua caj sampingan dan penggantian untuk membantu meringankan beban mereka.

Sementara itu, Pengarah Urusan Perbankan Runcit, Aaron Loo, berkata, cawangan, pengurus-pengurus perhubungan serta pusat panggilan bank bersedia untuk membantu pelanggan yang terjejas dalam mendapatkan program bantuan banjir.

“Kami memahami kesulitan yang dihadapi dan kami akan menjalankan tanggungjawab kami dalam membantu meringankan beban kewangan pelanggan di masa yang sukar ini.

“Pelanggan AmBank yang mengalami kesulitan dan gangguan akibat banjir boleh menghubungi cawangan terdekat mereka atau Pusat Perhubungan 24 jam AmBank di talian 03- 2178 8888,” katanya.

Melalui warga kerja Sumber Manusia dan Kelab AmBank Group, pihak Bank akan menyediakan bantuan kewangan kepada kakitangannya yang terjejas akibat banjir bagi meringankan kesusahan yang dihadapi dalam mengharungi masa yang mencabar ini. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini