comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Axiata alami kerugian bersih lebih RM500 juta

Axiata Group Bhd

KUALA LUMPUR: Kerugian bersih Axiata Group Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 meningkat kepada RM576.21 juta daripada RM106.38 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Hasil, bagaimanapun, meningkat kepada RM5.99 bilion daripada RM5.2 bilion sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

Kumpulan tersebut berkata, hasil yang lebih tinggi itu disumbangkan terutamanya daripada semua syarikat yang beroperasi kecuali operasi mudah alih di Nepal dan perniagaan digital (Axiata Digital & Analytics Sdn Bhd dan anak syarikatnya).

Keuntungan bersih yang lebih rendah dipengaruhi terutamanya oleh beberapa faktor termasuk susut nilai dan pelunasan yang lebih tinggi, rosot nilai aset bagi operasi mudah alih di Nepal, dan kos kewangan tinggi, sebahagiannya diimbangi oleh hasil kasar yang lebih tinggi, kerugian pertukaran asing rendah, bahagian keuntungan daripada syarikat sekutu terutamanya daripada CelcomDigi Bhd dan cukai rendah.

“Selepas selesai penggabungan antara Celcom dan Digi pada 30 November 2022, bahagian kumpulan dalam keputusan kewangan CelcomDigi direkodkan di bawah operasi berterusan mulai 1 Disember 2022 dan seterusnya, manakala keputusan kewangan Celcom sebelum 1 Disember 2022 dikemukakan sebagai operasi yang dihentikan,” katanya.

Bagi separuh tahun pertama berakhir 30 Jun 2023, Axiata mencatatkan kerugian bersih yang lebih besar sebanyak RM502.36 juta berbanding RM149.35 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu, manakala hasil meningkat kepada RM11.37 bilion daripada RM10.18 bilion sebelum ini.

Dalam makluman berasingan, syarikat itu mengisytiharkan dividen dikecualikan cukai sebanyak lima sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.Butiran kelayakan dividen dan tarikh pembayaran akan ditentukan dan diumumkan dalam tempoh masa yang ditetapkan. — BERNAMA

Loading...
Terkini