comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Axiata sasar pertumbuhan satu digit perolehan,EBIT pada 2023

KUALA LUMPUR: Konglomerat digital dan telekomunikasi Axiata Group Bhd menyasarkan untuk mencapai pertumbuhan perolehan satu digit pertengahan dan pertumbuhan satu digit yang tinggi bagi pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) pada 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan kumpulan Vivek Sood berkata strategi kumpulan terarah kepada perbelanjaan modal (CAPEX) yang teguh dan pengurusan perbelanjaan operasi, serta kewujudan struktur modal yang sesuai mengikut tujuan dan dioptimumkan secara dinamik untuk mengekalkan daya tahan operasi dan asas perniagaan yang kukuh.

“Inisiatif-inisiatif ini akan membolehkan kami kekal pada kedudukan baik ketika berdepan gangguan dan memanfaatkan peluang.

“Komitmen kami kepada asas perniagaan yang teguh membolehkan kami melahirkan nilai mampan kepada semua pihak berkepentingan, memacu kejayaan jangka panjang kumpulan ini,” katanya dalam Laporan Tahunan Bersepadu 2022 Axiata yang dikeluarkan hari ini.

Menurut Vivek, Axiata kekal berhati-hati dengan potensi cabaran makroekonomi pada 2023 berikutan pengukuhan dolar Amerika Syarikat dan peningkatan kadar faedah, risiko kawal selia dan potensi perubahan dalam landskap industri susulan penggabungan dan pelaksanaan 5G di sebilangan pasaran.

“Kami akan menguruskan risiko berkaitan terhadap syarikat yang beroperasi dengan melaksanakan langkah proaktif seperti mengurangkan pendedahan kepada pertukaran asing, meningkatkan aktiviti lindung nilai, mengurangkan capex dan kos berasaskan sifar demi memastikan daya tahan.

“Nilai strategik kami, sebagaimana yang digariskan dalam Visi Axiata 5.0 terus membantu kami ketika beralih daripada sebuah syarikat telekomunikasi (Telco) kepada syarikat teknologi (TechCo) dan mengukuhkan pemacu kecemerlangan operasi dengan tumpuan kepada daya tahan.

“Kami menyifatkan 2023 sebagai tahun yang memberikan peluang besar, dengan keuntungan yang efisien dan peningkatan pulangan daripada operasi teras, ditambah pula dengan pertumbuhan baharu merentas perniagaan infrastruktur, digital dan perusahaan,” katanya.

Vivek berkata kumpulan itu akan terus membina dan mengukuhkan teras digitalnya.

“Berikutan pelepasan sifar bersih dan komitmen sasaran berasaskan sains yang dilakukan tahun lepas, Axiata telah memperbaharu Rangka Kerja Kemampanan dan mewujudkan struktur dan sumber tadbir urus yang diperlukan untuk mengendalikan aspek berkaitan kemampanan, termasuk keterangkuman digital dan tindakan iklim,” katanya.

BERNAMA

Loading...
Terkini