comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bank untung besar tidak akan dikenakan Cukai Makmur

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk mengenakan Cukai Makmur kepada bank yang mendapat lebihan keuntungan susulan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebelum ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata sebaliknya pihak bank hanya diminta untuk melakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada rakyat mengikut tindakan dan kaedah masing-masing.

“Kita tidak bercadang adakan Cukai Makmur kepada bank yang mendapat lebihan keuntungan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan) sama ada kerajaan akan memperkenalkan Cukai Makmur kepada pihak bank seperti beberapa negara lain berikutan kenaikan keuntungan bank sekitar satu hingga lima peratus.

Pada masa sama, Ahmad berkata, pihaknya berpendapat kejatuhan yang berlaku di Silicon Valley Bank (SVB) di Amerika Syarikat (AS) tidak akan merebak kepada bank di negara ini.

Beliau berkata, ini kerana bank di negara ini mengikuti Basel III iaitu peraturan modal dan pertukaran mudah tunai yang sepatutnya diikuti pihak antarabangsa sebagai standard untuk bank.

“Ada sebahagian bank di Eropah yang tidak mengikuti (Basel III), bank di negara kita ikutinya, jadi kita berharap ia tidak merebak ke negara kita.

“SVB adalah bank ke-16 yang terbesar di AS menyebabkan apa yang berlaku terhadap bank itu merebak ke Credit Suisse di Switzerland, di mana ada masalah tatakelola yang menyebabkan ia distruktur semula.

“Oleh itu, mudah-mudahan ia tidak berlaku di Malaysia, kerana kita mengikuti dengan ketat apa yang disebut Basel III, peraturan antarabangsa mengenai bank,” katanya. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini