comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Belian bersih ekuiti pelabur asing naik dua kali ganda

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pelabur asing terus menjadi pembeli bersih ekuiti di Bursa Malaysia pada minggu lalu dengan aliran masuk bersih berjumlah RM786.1 juta, 2.2 kali lebih tinggi berbanding RM352.9 juta yang dicatatkan minggu sebelumnya.

Prestasi itu menandakan pembelian bersih oleh kalangan pelabur asing untuk minggu kelima berturut-turut, kata MIDF Research.

“Sama seperti minggu sebelumnya, pelabur asing membuat belian setiap hari. Ia berlangsung selama 16 hari dagangan berturut-turut, situasi yang tidak pernah dilihat sejak Februari 2022,” katanya dalam satu nota penyelidikannya.

Nota itu menyatakan aliran masuk bersih tertinggi dicatatkan pada Selasa berjumlah RM413.8 juta.

Sektor yang menerima aliran masuk asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan dengan RM287.2 juta, diikuti utiliti (RM235.8 juta) dan tenaga (RM76.9 juta).

Sementara itu, sektor dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah amanah pelaburan hartanah (REIT) berjumlah -RM18.6 juta, perladangan (-RM12.4 juta) dan pembinaan (-RM4.4 juta).

“Berbanding pelabur asing, institusi tempatan terus menunjukkan trend penjualan bersih ekuiti domestik untuk minggu kelima berturut-turut, berjumlah RM596.6 juta, 2.1 kali lebih tinggi daripada RM277.5 juta pada minggu sebelumnya,” katanya.

Peruncit tempatan mencatat jualan bersih ekuiti domestik bagi minggu ketiga berturut-turut dengan jumlah jualan mencecah RM189.6 juta minggu lalu.

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata jumlah dagangan harian merentas semua kelas pelabur.

Peruncit tempatan menyaksikan peningkatan sebanyak 29.9 peratus, manakala institusi tempatan dan pelabur asing menyaksikan aliran meningkat masing-masing sebanyak 26.6 peratus dan 21.6 peratus.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini