comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia ditutup tinggi berikutan sentimen berhati-hati 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Isnin apabila pelabur mengambil pendirian berhati-hati sebelum siri mesyuarat bank pusat yang signifikan pada minggu ini, kata penganalisis.

Pasaran sedang menantikan mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat dan Bank of Japan (BoJ) serta keputusan mereka mengenai kadar faedah.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.81 mata kepada 1,553.64 daripada 1,552.83 semasa ditutup pada Jumaat.

Indeks penanda aras itu yang dibuka rendah 5.38 mata kepada 1,547.45 bergerak antara 1,544.32 dan 1,557.33 sepanjang sesi.

Sentimen pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 546 berbanding 480, manakala 476 kaunter tidak berubah, 805 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan menyusut kepada 4.24 bilion unit bernilai RM2.79 bilion daripada 4.53 bilion unit bernilai RM4.82 bilion pada Jumaat lepas.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata kebanyakan indeks serantau utama ditutup dalam segmen positif berikutan pengumuman Beijing mengenai data ekonomi utama untuk tempoh dua bulan pertama 2024.

Beliau berkata output perindustrian Beijing meningkat tujuh peratus setiap tahun sepanjang Januari dan Februari, selain kenaikan jualan runcit sebanyak 5.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Di peringkat domestik, kami memilih untuk kekal berwaspada berikutan ketidaktentuan dan ketidakpastian global yang meningkat.

“Oleh itu, kami menjangka FBM KLCI akan berubah-ubah dalam julat 1,540-1,570 untuk minggu ini, dengan paras rintangan segera pada 1,560 dan sokongan pada 1,528,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB masing-masing menambah empat sen kepada RM9.75 dan RM6.65, Public Bank naik dua sen kepada RM4.29, Petronas Chemicals turun empat sen kepada RM6.86, dan TNB tidak berubah pada RM11.60.

Bagi saham aktif, Eversendai Corp menokok 2.5 sen kepada 34.5 sen, MY E.G. Services mengukuh satu sen kepada 81.5 sen, YTL Corp meningkat 14 sen kepada RM2.75, Sapura Energy naik setengah sen kepada lima sen, dan Pan Malaysia tidak berubah pada 18.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 13.78 mata kepada 11,557.37, Indeks FBMT 100 menambah 13.55 mata kepada 11,218.85, Indeks FBM ACE meningkat 8.06 mata kepada 4,717.12, dan Indeks FBM 70 menokok 50.81 kepada 15,715.45.

Bagaimanapun, Indeks FBM Emas Syariah turun 27.59 mata kepada 11,564.01.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 62.42 mata kepada 17,339.05,
Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.35 mata kepada 177.24, dan Indeks Tenaga menokok 12.41 mata kepada 928.41, manakala Indeks Perladangan susut 6.91 mata kepada 7,285.44.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 2.83 bilion unit bernilai RM2.50 bilion daripada 2.87 bilion unit bernilai RM4.50 bilion Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran susut kepada 836.40 juta unit bernilai RM112.35 juta daripada 1.09 bilion unit bernilai RM131.42 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 572.98 juta saham bernilai RM177.51 juta daripada 546.78 juta saham bernilai RM184.68 juta sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 298.25 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (386.15 juta); pembinaan (321.18 juta); teknologi (839.60 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (106.23 juta); hartanah (362.24 juta); perladangan (41.99 juta);REIT (7.60 juta), dana tertutup(64,000); tenaga (186.04 juta); penjagaan kesihatan (44.20 juta); telekomunikasi dan media (52.10 juta); pengangkutan dan logistik (60.46 juta); dan utiliti (125.01 juta). – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini