comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Betamek dapat kontrak bekal alat ganti elektronik Perodua

RAWANG: Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), Betamek Bhd (Betamek) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Betamek Electronics (M) Sdn Bhd (BESB) memperoleh kontrak RM123.5 juta bagi membekalkan pelbagai alat ganti elektronik untuk model baharu Perodua.

Betamek dalam satu kenyataan berkata, pembekalan bahagian automotif itu bermula pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 membabitkan tempoh selama enam tahun.

“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Kumpulan Betamek dalam tempoh enam tahun, bermula dari tahun kewangan 2023,” katanya.

Anak syarikatnya itu menerima Surat Anugerah (LOA) daripada Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) pada 13 Januari lalu.

Pengarah Urusan Betamek, Mirzan Mahathir, berkata syarikat yang menyediakan penyelesaian EMS sehenti kepada pengeluar automotif itu optimis permintaan untuk produk audio visual (AV) kenderaan dan aksesori kenderaannya akan terus berkembang dipacu peningkatan permintaan pelanggan utama, PERODUA.

“Perkongsian kami dengan PERODUA menjangkau lebih dua dekad, dan kami berbesar hati untuk meneruskan hubungan kami dengan membekalkan teknologi terkini kami untuk model kenderaan terbaharunya,” katanya.

Setakat Januari 2023, PERODUA memiliki 220,000 tempahan tertunggak untuk dipenuhi.

Pengeluar kereta kompak nasional itu baru-baru ini mengumumkan ia berusaha untuk memaksimumkan pengeluarannya kepada 330,000 unit dan sasaran jualan sebanyak 314,000 unit tahun ini disokong oleh tempahan tertunggak serta permintaan berterusan untuk kenderaannya setakat tahun ini.

Sasaran pengeluaran dan jualan itu masing-masing 14.2 peratus dan 11.3 peratus lebih tinggi daripada angkat tahun lalu iaitu 289,054 unit (pengeluaran) dan 282,019 unit (jualan). — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini