comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia dibuka rendah, sejajar potensi lemah Wall Street 

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih rendah pagi ini, mengambil petunjuk daripada prestasi Wall Street yang lemah semalaman ketika pelabur masih lagi mencerna data ekonomi yang dikeluarkan minggu lepas.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.92 mata kepada 1,484.55 daripada 1,490.47 pada penutup urus niaga Jumaat.

Indeks utama itu memulakan dagangan 2.65 mata lebih rendah pada 1,487.82.

Pergerakan harga di pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 263 berbalas 131, manakala 295 kaunter tidak berubah, 1,497 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 338.09 juta unit bernilai RM155.73 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam satu nota, sentimen global kekal tidak menentu ekoran kemerosotan Nasdaq di Wall Street yang didorong oleh angka pekerjaan Januari yang kukuh.

“Angka-angka pekerjaan telah mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan nada yang lebih cenderung kepada menaikkan kadar faedah daripada Rizab Persekutuan Amerika Syarikat  (AS).

“Memandangkan kemerosotan Wall Street berserta hasil bon yang meningkat, sektor teknologi mungkin menyaksikan penurunan semula selanjutnya,” katanya.

Di pasaran tempatan, pelabur mungkin menumpukan pada musim pendapatan yang akan datang dan pembentangan semula Belanjawan 2023 pada 24 Februari, kata firma broker itu.

Bagi komoditi, minyak mentah Brent diniagakan melebihi US$81 setong, manakala harga minyak sawit mentah berlegar melepasi paras RM3,850 satu tan, tambahnya. — BERNAMA

Loading...
Terkini