comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia ditutup rendah bagi hari kedua berturut-turut

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini bagi hari kedua berturut-turut susulan tekanan jualan yang berterusan terutamanya dalam saham berkaitan telekomunikasi dan komoditi di tengah-tengah prestasi bercampur-campur pasaran serantau.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.01 mata atau 0.29 peratus kepada 1,374.64 daripada paras penutup 1,378.65 pada Rabu.

Indeks utama itu dibuka rendah turun 2.86 mata kepada 1,375.79 pagi ini dan bergerak antara paras 1,369.41 dan 1,376.62 sepanjang sesi dagangan.

Suasana pasaran negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 487 berbanding 300, manakala 433 kaunter tidak berubah, 1,023 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 2.68 bilion unit bernilai RM1.61 bilion berbanding 3.12 bilion unit bernilai RM1.73 bilion pada Rabu.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata prestasi bursa tempatan itu sejajar dengan prestasi pasaran serantau yang kebanyakannya rendah susulan petunjuk negatif daripada Wall Street semalaman,

Beliau berkata para pelabur bimbang kemungkinan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) akan terus kekal tinggi bagi tempoh yang lebih lama dan Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka terus mengekalkannya pada mesyuaratnya minggu depan.

“Bagi bursa tempatan, kami percaya sentimen jangka pendek akan terus tidak menentu, dipengaruhi oleh pelbagai faktor dalaman dan luaran.

“Bagaimanapun, terdapat kemungkinan akan muncul aktiviti pembelian saham berharga rendah apabila indeks petunjuk pasaran kekal berada dalam situasi terlebih jual,” katanya kepada Bernama.

Thong menjangkakan FBM KLCI diniagakan tidak banyak berubah dalam jajaran 1,373-1,385 menuju ke hujung minggu.

Loading...
Terkini