comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia ditutup rendah pada tengah hari 

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini lebih rendah, dipengaruhi oleh penjualan dalam saham wajaran tinggi terpilih yang diterajui sektor perkhidmatan kewangan serta telekomunikasi dan media, kata peniaga.

Pada rehat tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 3.95 mata kepada 1,494.44 daripada 1,498.39 pada Khamis.

Saham pandu pasaran dibuka meningkat 1.58 mata kepada 1,499.97 dan bergerak antara 1,493.22 dan 1,500.91 pada sepanjang sesi.

Bagaimanapun, di pasaran lebih meluas menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 453 berbanding 370 manakala 398 kaunter tidak berubah, 1,026 tidak diniagakan dan 49 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berjumlah 2.81 bilion unit bernilai RM1.20 bilion.

Seorang peniaga berkata bursa tempatan dibuka tinggi sebelum kemudiannya dalam wilayah negatif pada sesi pertengahan pagi yang mencatat jajaran kecil, sekali gus mengakhiri sesi pagi lebih rendah.

Beliau berkata Bursa Malaysia juga terus bergerak mendatar, bertentangan dengan kenaikan bursa-bursa serantau berikutan ekuiti-ekuiti Asia melonjak, didorong sentimen positif daripada prestasi kukuh ekuiti global.

Pasaran saham Amerika Syarikat khususnya meningkat kepada paras tertinggi untuk tempoh hampir lapan minggu selepas bacaan awal suku keempat keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2022 menokok 2.9 peratus tahun ke tahun, lebih pantas daripada jangkaan walaupun kenaikan kadar yang agresif, katanya.

Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun meningkat 0.07 peratus kepada 27,382.81, Kospi Korea Selatan naik 0.70 peratus kepada 2,485.87 dan Indeks Straits Times Singapura menambah 0.43 peratus kepada 3,391.67.

Indeks Hang Seng Hong Kong pula susut 0.05 peratus kepada 22,555.27.

Di dalam negara, saham wajaran tinggi Maybank menyusut dua sen kepada RM8.76, Public Bank berkurangan tiga sen kepada RM4.25, CIMB menambah dua sen kepada RM5.74, Tenaga Nasional  menokok tiga sen kepada RM9.55 manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM8.51.

Bagi saham aktif, MMAG naik setengah sen kepada 2.5 sen, ATA IMS menokok 8.5 sen kepada 48 sen, Aimflex meningkat setengah sen kepada 17.5 sen, Nylex meningkat 7.5 sen kepada 50.5 sen dan Dagang Nexchange meraih 3.5 sen kepada 67 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 8.44 mata kepada 10,872.48, Indeks FBMT 100 susut 11.17 mata kepada 10,542.93 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 4.63 mata kepada 11,144.50.

Indeks FBM 70 meningkat 57.25 mata kepada 13,736.72 dan Indeks FBM ACE naik 22.37 mata kepada 5,709.96.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.41 mata kepada 190.96, Indeks Tenaga menambah 6.05 mata kepada 876.69, Indeks Perladangan merosot 10.94 mata kepada 6,832.67 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 33.88 mata kepada 16,469.91. – BERNAMA

Loading...
Terkini