comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Sedikit

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia terus diniagakan dalam aliran menurun dan ditutup rendah sedikit hari ini berikutan kekurangan minat belian apabila para pelabur mengambil pendekatan berhati-hati di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global dan pengumuman data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan pada minggu ini, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun sebanyak 6.25 mata atau 0.45 peratus kepada 1,380.57 daripada paras penutup 1,386.82 pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi naik 1.46 mata kepada 1,388.28, sebelum menjadi negatif pada pertengahan pagi dan kekal dalam aliran itu sehingga sesi tengah hari. Ia diniagakan antara paras terendah intra hari pada 1,376.54 dan paras tertinggi intra hari pada 1,391.47.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 490 berbanding 344, manakala 384 kaunter tidak berubah, 1,140 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 1.85 bilion unit bernilai RM1.56 bilion daripada 2.35 bilion unit bernilai RM1.86 bilion pada Selasa.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama serantau diniagakan bercampur-campur apabila para pelabur berhati-hati menjelang pengumuman data inflasi dari AS.

Di pasaran tempatan, beliau berkata sentimen jangka pendek dalam FBM KLCI kekal tidak menentu yang disebabkan oleh pelbagai faktor luaran walaupun aktiviti membeli saham berharga rendah dijangka muncul dalam pasaran.

“Kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan tidak berubah dengan kecenderungan meningkat bagi tempoh berbaki minggu ini dalam jajaran 1,375-1,400,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank meningkat tujuh sen kepada RM8.51, Public Bank naik dua sen kepada RM4.22 dan CIMB menokok satu sen kepada RM5.30.

Petronas Chemicals turun empat sen kepada RM8.55 manakala IHH Healthcare susut 11 sen kepada RM5.54.

Dalam kalangan kaunter cergas, Citaglobal naik 3.5 sen kepada 28.5 sen, Top Glove dan Privasia kedua-dua meningkat satu sen masing-masing kepada 63.5 sen dan 12 sen, manakala NWP dan MYEG turun setengah sen masing-masing kepada 23 sen dan 88.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 48.47 mata kepada 9,852.40,  FBM 70 turun 93.41 mata kepada 11,939.36 dan Indeks FBMT 100 susut 50.98 mata kepada 9,604.01.

Indeks FBM Emas Shariah jatuh 89.15 mata kepada 9,821.63 dan FBM ACE berkurangan 21.47 mata kepada 4,631.37.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 38.63 mata kepada 15,923.77, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.35 mata kepada 169.24.

Indeks Perladangan susut 11.23 mata kepada 6,364.52 dan Indeks Tenaga turun 0.98 mata kepada 674.78.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.11 bilion saham bernilai RM1.37 bilion daripada 1.48 bilion saham bernilai RM1.62 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 364.45 juta unit bernilai RM48.22 juta daripada 343.11 juta unit bernilai RM53.76 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 375.39 juta saham bernilai RM140.89 juta berbanding 521.01 juta saham bernilai RM184.89 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 174.28 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (316.96 juta), pembinaan (39.52 juta), teknologi (111.73 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (71.75 juta), hartanah (76.25 juta), perladangan (23.03 juta), REITs (5.18 juta), dana tertutup (100), tenaga (132.58 juta), penjagaan kesihatan (86.28 juta), telekomunikasi dan media (32.77 juta), pengangkutan dan logistik (24.58 juta) dan utiliti (10.49 juta). — BERNAMA

Loading...
Terkini