comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia rendah pada tengah hari berikutan aktiviti pengambilan untung berterusan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi pagi ini berikutan aktiviti pengambilan untung yang berterusan di kaunter produk perindustrian dan perkhidmatan serta telekomunikasi dan media.

Pada rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot kepada 15.38 mata kepada 1,471.16 daripada 1,486.54 pada Jumaat lepas.

Saham pandu pasaran dibuka rendah 2.77 mata kepada 1,483.77 dan bergerak antara 1,469.73 dan 1,486.68 sepanjang sesi.

Suasana pasaran, bagaimanapun positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 501 berbanding 386 manakala 320 kaunter tidak berubah, 1,051 tidak diniagakan dan 67 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.89 bilion unit bernilai RM1.12 bilion.

Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun merosot 0.45 peratus kepada 28,036.52, Hang Seng Hong Kong naik 3.85 peratus kepada 17,964.24 dan Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.92 peratus kepada 3,269.97.

Rakuten Trade Sdn Bhd menjangka FBM KLCI akan diniagakan antara julat 1,485 dan 1,500 hari ini dalam persekitaran prestasi serantau yang tidak menentu berikutan dasar sifar COVID-19 China.

“Bagaimanapun, kita mungkin menyaksikan cabaran terhadap saham tenaga dengan minyak mentah Brent jatuh di bawah US$83 setong berikutan bantahan terkini di China,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat empat sen kepada RM8.71, CIMB naik enam sen kepada RM5.86, Public Bank berkurangan sembilan sen kepada RM4.43, Petronas Chemicals berkurangan 50 sen kepada RM8.58 manakala IHH Healthcare susut lapan sen kepada RM5.92.

Daripada saham aktif, Advance Synergy dan Sapura Energy, masing-masing naik setengah sen kepada 21 sen dan empat sen, MQ Technology menambah satu sen kepada lima sen manakala MMAG tidak berubah pada tiga sen dan Top Glove berkurangan dua sen kepada 89 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 58.42 mata kepada 10,518.37, Indeks FBMT 100 berkurangan 66.11 mata kepada 10,233.58 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 83.70 mata kepada 10,603.92.

FBM ACE naik 23.70 mata kepada 5,215.34 dan FBM 70 menambah 81.23 mata kepada 12,719.58.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 11.56 mata kepada 16,687.60, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 4.15 mata kepada 181.21, Indeks Perladangan merosot 60.90 mata kepada 6,756.25 manakala Indeks Tenaga naik 3.75 mata kepada 762.84. – BERNAMA

Loading...
Terkini