comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia teruskan penurunan, ditutup rendah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan penurunan semalam untuk ditutup rendah pada Khamis dipengaruhi oleh jualan dalam saham wajaran tinggi terpilih yang diterajui sektor perkhidmatan kewangan, kata seorang peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.06 mata untuk ditutup pada paras tertinggi intra harinya pada 1,498.39 daripada paras penutup 1,499.45 pada Rabu.

Petunjuk pasaran itu dibuka rendah turun 2.04 mata kepada 1,497.41 dan mencecah paras terendah pada 1,494.03 semasa sesi pertengahan pagi.

Bagaimanapun, di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 565 berbanding 359, manakala 431 kaunter tidak berubah, 875 tidak diniagakan dan 37 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.75 bilion unit bernilai RM2.03 bilion berbanding 2.83 bilion unit bernilai RM1.68 bilion pada Rabu.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng memberi tahu Bernama FBM KLCI terus mencatatkan penurunan meskipun prestasi kukuh di pasaran serantau.

Namun begitu, kaunter untung yang mengatasi kaunter rugi menunjukkan bahawa terdapat beberapa sentimen positif di keseluruhan pasaran, katanya.

“Bursa Malaysia menongkah arus berbanding trend serantau yang mana indeks utama serantau kebanyakannya diniagakan tinggi dengan kenaikan kukuh di Hong Kong manakala pasaran China masih ditutup sehingga minggu depan.

“Kami percaya jualan dalam dua hari lepas menyediakan peluang baik bagi membeli saham berharga rendah berikutan penilaian rendah sekarang.

FBM KLCI dijangka berlegar dalam jajaran 1,490 hingga 1,500 menuju ke hujung minggu,” katanya.

Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 2.37 peratus kepada 22,566.78, Kospi Korea Selatan naik 1.65 peratus kepada 2,468.65 manakala Indeks Straits Times Singapura menokok 0.76 peratus kepada  3,378.31 manakala Nikkei 225 Jepun susut 0.12 peratus kepada 27,362.75. – BERNAMA

Loading...
Terkini