comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Cadangan IMF supaya OPR dinaikkan bebankan rakyat, industri

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Cadangan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) supaya Malaysia mengetatkan dasar monetari yang antara lain dengan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan membebankan rakyat dan juga syarikat khususnya sektor mikro, kecil dan sederhana.

Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Armin Baniaz Pahamin, berkata mengikut Laporan Perundingan-Konsultasi dan Kakitangan Artikel IV bagi Malaysia: 2023 yang dikeluarkan pada 1 Jun lalu, IMF mencadangkan dasar monetari Malaysia perlu diperketatkan lagi.

“Majoriti rakyat dan syarikat mikro, kecil dan sederhana dibelenggu pinjaman yang tinggi dan amat sensitif kepada pertukaran kadar faedah pinjaman.

“Kenaikan kos akibat daripada kadar faedah yang meningkat akan menaikkan lagi harga perkhidmatan dan/atau produk, operasi sesetengah syarikat akan terjejas apabila tidak dapat meneruskan kontrak pembekalan dengan kenaikan kos tanpa persetujuan untuk menyemak semula nilai kontrak.

“Ini juga boleh mendorong kepada tahap inflasi yang semakin tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.Armin berkata, langkah kerajaan mendapatkan bantuan teknikal daripada IMF berhubung dengan strategi hasil jangka sederhana (MRTS) akan membebankan lagi keperitan rakyat dalam suasana ekonomi yang tidak menentu dan kadar inflasi yang tinggi.

“Terdapat banyak faktor yang mengakibatkan kemerosotan hasil kutipan cukai kepada 11 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), antaranya adalah struktur dan hala tuju ekonomi. Angka 11 peratus ini adalah yang terendah dalam kelompok ASEAN-5 dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD),” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa sumber hasil negara boleh ditingkatkan melalui sumber pendapatan yang lain seperti hasil duti eksais dan levi pekerja tanpa membebankan rakyat.

“Kerajaan boleh mengetatkan lagi penguatkuasaan barangan seludup dan levi pekerja asing yang semakin berleluasa. Kerajaan kerugian besar akibat dari barang yang diseludup masuk secara haram.

“Kerugian hasil negara daripada penyeludupan rokok sahaja dianggarkan bernilai RM6 bilion tidak termasuk penyeludupan ubat-ubatan, minuman keras dan lain-lain.

“Walaupun jumlah pekerja asing yang berdaftar melebihi 2.1 juta orang, tetapi jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI) dianggarkan mencecah sejuta orang dan ini bukan sahaja menjejas hasil negara tetapi juga bersangkut paut dengan masalah ekonomi, sosial, keselamatan dan ketenteraman,” katanya.

Armin menambah, kerajaan mengalami kerugian besar daripada hasil cukai pendapatan, levi dan ekonomi haram yang dijana oleh PATI.

Loading...
Terkini