comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Coca-Cola Bottlers Malaysia lantik Tolga Cebe sebagai CEO

Tolga Cebe.

KUALA LUMPUR: Coca-Cola Bottlers Malaysia (CCBM), cabang pembotolan The Coca-Cola Company (TCCC), melantik Tolga Cebe sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu bagi Bottling Investments Group (BIG) untuk Singapura, Malaysia dan Brunei, berkuat kuasa 1 Jun 2023.

Cebe dalam mengulas mengenai pelantikannya berkata beliau akan menumpukan usaha mencipta nilai untuk pelanggan, memacu pertumbuhan perniagaan yang mampan dan membuat perubahan positif dalam komuniti.

“Saya teruja untuk berpindah ke rantau ini dan akan meneruskan pertumbuhan serta transformasi luar biasa dalam operasi Coca-Cola Singapura, Malaysia dan Brunei di samping memperkukuh kedudukan daya saing kami menerusi inovasi seterusnya bagi pembungkusan dan produk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Cebe, warganegara Turkiye, juga memegang jawatan Ketua Pegawai Komersial BIG (meliputi 13 negara di Asia dan Timur Tengah) dengan melaksanakan peranan penting dalam meneraju agenda pertumbuhan komersial berdasarkan perancangan jangka masa panjang di seluruh vertikal pengurusan pertumbuhan, laluan ke pasaran, juara di titik jualan, perdagangan moden, e-dagang serta transformasi digital berpusatkan sekitar e-perniagaan kepada perniagaan (eB2B).

Beliau menyertai TCCC pada 2004 dan pernah memegang pelbagai jawatan kepimpinan termasuk Naib Presiden Operasi Timur Tengah dan pengurus besar sejak 2019 dengan tanggungjawab menyelia 13 negara di seluruh rantau ini.

Beliau memiliki pengalaman selama 27 tahun dalam aspek barang pengguna cepat laris (FMCG) dan sebelum ini memegang jawatan di Procter & Gamble, Boston Consulting Group dan Monitor Group, yang kesemua firma itu melengkapkan dirinya dengan kemahiran diperlukan untuk mengemudi landskap perniagaan yang sentiasa berubah, merangka strategi yang mantap serta membangunkan berasaskan kekuatan syarikat.

Cebe menggantikan bekas CEO, Louis Balat, yang dilantik sebagai Presiden Zon Tengah Latin TCCC dan ditempatkan semula di San Jose, Costa Rica.

Coca-Cola beroperasi di Malaysia selama lebih 85 tahun dengan menawarkan produk minuman disahkan halal kepada rakyat Malaysia.

Loading...
Terkini