comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

OPR belum pasti kekal atau meningkat tahun depan

Bank Negara Malaysia (BNM)

KUALA LUMPUR: Penganalisis berbeza pandangan berhubung pendirian Bank Negara Malaysia (BNM) pada masa akan datang selepas mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang terakhir untuk 2023.

Bagaimanapun, rata-rata penganalisis menjangkakan bank pusat akan terus mengekalkan OPR pada 3.0 peratus menjelang 2024, selepas kadar semasa dilihat telah menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan di negara ini.

MIDF Research berpendapat, persekitaran luaran akan terus mencabar pada tahun depan dalam keadaan ketegangan geopolitik, paras harga yang tinggi dan risiko kelembapan ekonomi global.

“Tinjauan ekonomi domestik diramalkan akan kekal berwaspada serta berdaya tahan dengan disokong oleh permintaan domestik yang stabil.

Bagaimanapun, penstabilan kadar inflasi teras dan persekitaran luaran yang mencabar mungkin mempengaruhi BNM untuk mengekalkan OPR pada paras semasa sepanjang 2024,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

RHB Research juga tidak menjangkakan untuk melihat kenaikan kadar faedah di Malaysia tahun depan.

“Pandangan kami didorong oleh beberapa faktor utama seperti dolar Amerika Syarikat (AS)-ringgit yang disatukan menjelang akhir 2024 serta kadar domestik kekal dinaikkan, yang akan mengecilkan perbezaan kadar faedah dengan pasaran maju,” katanya dalam satu nota.

Firma penyelidikan itu juga beranggapan bahawa ringgit mungkin mengukuh ke paras RM4.50 hingga RM4.70 berbanding dolar AS menjelang akhir 2024 (berbanding RM4.80 pada akhir 2023).

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research pula mempunyai pandangan berbeza apabila mengunjurkan bahawa BNM mungkin menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas pada 2024.

Unjuran itu, khususnya dipacu oleh potensi perubahan dalam dasar-dasar domestik terhadap subsidi dan kawalan harga, selain kenaikan harga komoditi global dan perkembangan dalam pasaran kewangan.

Loading...
Terkini