comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Dasar monetari perlu cermin keadaan ekonomi dan tidak statik

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Dasar monetari perlu mencerminkan keadaan ekonomi dan tidak statik manakala peranan Bank Negara Malaysia (BNM) perlu dilihat sebagai bebas bagi membolehkan sedikit ruang untuk intervensi apabila perlu, kata seorang ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi dan Penyelidikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) terlalu rendah bagi tempoh yang terlalu lama boleh membawa kepada ketidakseimbangan.

“Orang ramai perlu memahami mengapa terdapat perubahan dalam pendirian dasar monetari dan ia juga perlu mencerminkan keadaan semasa ekonomi.

“Jika anda perasan bahawa apabila aktiviti ekonomi kita jatuh mendadak semasa pandemik COVID-19 pada 2020, kita menyaksikan OPR diturunkan daripada tiga peratus kepada serendah 1.75 peratus dalam tempoh kurang daripada setahun.

“Ini kerana bank pusat mahu membantu ekonomi. Dengan menurunkan kadar, ia bermakna kos barangan menjadi lebih murah dan akan merangsang ekonomi menerusi pelaburan dan penggunaan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam berkata selepas ekonomi mula pulih semula dengan petanda aktiviti ekonomi yang meyakinkan, kadar ini perlu diselaraskan semula.

Pembukaan semula ekonomi serta sempadan antarabangsa sangat membantu dalam merancakkan semula aktiviti ekonomi, katanya, dan sudah tentunya OPR yang berada pada 1.75 peratus tidak seiring dengan tahap aktiviti ekonomi.

“Melihat pada tempoh sembilan bulan pertama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas yang berkembang pada kadar lebih daripada sembilan peratus, OPR perlu dinaikkan untuk bergerak sejajar dengan peningkatan ekonomi.

“Bagaimanapun apabila berlaku malapetaka pada masa akan datang seperti desas desus mengenai kemelesetan, menjadi perkara biasa bagi bank pusat untuk campur tangan dan menurunkan sekali lagi kadar. Ia adalah sifat OPR atau kadar dasar lain di seluruh dunia,” jelasnya. – BERNAMA

Loading...
Terkini