comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

RM35.3 bilion hasil pelaburan KWSP boleh ditukar kepada ringgit

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai pendapatan pelaburan luar negara kira-kira RM35.3 bilion pada 2023, yang berpotensi ditukar kepada ringgit, demikian menurut penganalisis.

AmBank Economic Research berkata, KWSP mungkin adalah pelabur terbesar Malaysia yang melabur di luar negara dalam kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), dengan anggaran RM431 bilion dilabur di luar Malaysia pada akhir 2023.

Ia berkata, jumlah pelaburan luar negara yang dicatatkan itu meningkat RM74 bilion berbanding RM359 bilion pada 2022.

Katanya, pendapatan pelaburan luar negara pengurus dana persaraan itu pula adalah kira-kira RM35.3 bilion pada 2023 atau 53 peratus daripada pendapatan pelaburan dijana pada tahun itu.

Justeru, jelasnya, dengan mengambil kira kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) supaya usaha secara bersama menggalakkan GLC dan GLIC membawa pulang pendapatan luar negara dan menukar kepada ringgit, pendapatan pelaburan luar negara KWSP itu adalah antara sasaran potensi aliran masuk kembali ke Malaysia.

“Walau bagaimanapun, kemungkinan penukaran sekurang-kurangnya RM35 bilion kepada ringgit daripada mata wang lain bukanlah satu jumlah yang besar memandangkan aliran tukaran asing (FX) harian sekitar AS$10 (RM46.8 bilion) hingga AS$20 bilion (RM93.6 bilion) dalam pasaran domestik.

“Namun, jika KWSP dan GLC serta GLIC lain memang membawa pulang jumlah keseluruhan pendapatan pelaburan luar negara kembali ke Malaysia, potensi isyarat pasaran adalah besar pada pendapat kami kerana ia mencerminkan keyakinan KWSP terhadap potensi pulangan pasaran modal domestik,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Sebelum pengumuman rasmi baru-baru ini, AmBank Economic Research mendapati bahawa kadar pertukaran dolar AS/ringgit adalah sangat anjal dan sensitif kepada perubahan dalam indeks dolar (DXY).

Ia berkata, sedikit perubahan dalam indeks DXY mengakibatkan turun naik kadar dolar AS/ringgit yang ketara.

Bagaimanapun, katanya, selepas pengumuman itu, kadar pertukaran menjadi lebih stabil dan kurang terdedah kepada perubahan.

“Ini menunjukkan bahawa pengumuman berkenaan telah memberi kesan positif kepada pasangan mata wang dolar AS/ringgit dan mengurangkan turun naiknya.

“Oleh itu, kami menjangkakan pihak berkuasa akan lebih peka dengan perubahan dalam dolar AS/ringgit pada hari-hari dan minggu-minggu akan datang,” katanya.

AmBank Economic Research juga mendapati deposit mata wang asing di Malaysia, sebagai peratusan daripada jumlah deposit dalam sistem perbankan, telah berubah sedikit ke bawah.

Ia berkata, data menunjukkan deposit mata wang asing bertukar lebih rendah daripada 10.5 peratus pada Disember 2023, dengan data terkini setakat Januari 2024 menunjukkan ia berada pada paras 10.4 peratus (RM247.4 bilion).

Katanya, paras tertinggi tahun lalu ialah 10.6 peratus, dicatatkan pada Februari 2023, sebelum ia merosot kepada 9.9 peratus pada Mac 2023, dan membawa sokongan kepada ringgit apabila dolar AS/ringgit merosot 4.487 pada Februari kepada 4.415 pada Mac.

Jelasnya, jangkaan mengenai prospek jangka panjang pengurangan Rizab Persekutuan (Fed) AS yang dianggap sebagai kelebihan kepada ringgit berbanding perbezaan kadar AS seharusnya meyakinkan pengeksport bahawa penukaran kepada ringgit yang di bawah nilai adalah bermanfaat.

Selain itu, tambahnya, memandangkan penetapan harga masa depan bagi pengurangan kadar yang akan dilakukan oleh Fed menjadi lebih jelas, ia sepatutnya meningkatkan selera risiko dan memberikan dorongan menaik untuk mata wang sedang pesat membangun, termasuk ringgit itu sendiri.

“Di tengah-tengah jangkaan sentimen ringgit yang lebih baik, penukaran oleh pengeksport Malaysia diikuti jika aliran masuk GLC bertambah baik, meningkatkan lagi tahap jangka pendek ringgit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini