comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ekonomi Malaysia bergantung kemasukan dana asing, pelaburan

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia diunjurkan mencatatkan pertumbuhan kira-kira 4.5 peratus tahun ini, berbanding anggaran setahun penuh 2023 pada 4.1 peratus.

Ketua Ahli Ekonomi Asia HSBC, Frederic Neumann, berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia sebahagiannya akan dipacu oleh pelbagai aspek seperti jangkaan aliran masuk dana asing yang berterusan, serta kemasukan pelaburan langsung.

Beliau berkata, gangguan yang timbul daripada perkembangan geopolitik seperti krisis Laut Merah pula boleh memberi kesan kepada perdagangan dunia, namun ia bergantung kepada sejauh mana ia akan berlarutan.

Katanya, Malaysia masih boleh menguruskan impak daripada krisis yang bermula sejak akhir bulan lalu itu, seandainya ia berkekalan untuk tempoh beberapa minggu akan datang.

“Jika tempoh krisis terus berlanjutan, ia akan menyebabkan gangguan berpanjangan kepada penghantaran yang akan menjejaskan perdagangan termasuk Malaysia.

“Saya tidak fikir ia cukup besar untuk mempengaruhi unjuran ekonomi seperti Malaysia memandangkan sebahagian penghantaran boleh dialihkan ke sekitar Afrika.

“Kenaikan kos penghantaran ketika ini memberi kesan besar kepada pengimport Eropah, tetapi pasaran mula membuat pelarasan kepada kenaikan ini. Kami belum melihat kenaikan sedikit tinggi (kos) ini akan memberi impak ketara kepada ekonomi Malaysia,” katanya pada Taklimat Unjuran Asia 2024 secara maya, hari ini.

Yang turut serta, Ketua Strategi Ekuiti Asia Pasifik HSBC, Herald Van Der Linde; Ketua Strategi Kadar Faedah Asia Pasifik, Pin-Ru Tan; Ketua Pusat Perubahan Iklim dan Ketua Penyelidik ESG HSBC, Wai-Shin Chan; dan Ketua Penyelidik Pertukaran Asing Asia HSBC, Joey Chew.

Minggu lalu, pemimpin pemberontak, Abdel-Malek al-Huthi memberi amaran sekiranya pihaknya diserang, pemberontak akan menyerang balik kapal perang dan kepentingan Amerika Syarikat (AS).

Houthi Yaman yang disokong Iran menyerang atau merampas puluhan kapal dengan peluru berpandu serta dron sejak 19 November lalu, dan cuba menimbulkan implikasi antarabangsa ke atas kempen perang Israel.

Loading...
Terkini