comscore
Tumpuan :
Nasional

Beberapa syarikat gergasi teknologi komited teruskan pelaburan di Malaysia

SAN FRANCISCO: Beberapa syarikat besar menyatakan komitmen akan melanjutkan pelaburan mereka di Malaysia secara besar-besaran.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sistem politik yang stabil dan dasar yang jelas merupakan antara faktor penting yang menarik minat syarikat terbabit untuk melabur.

Beliau terdahulu mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat gergasi teknologi seperti Google, Enovix Cooperation, Microsoft dan TikTok di sini.

Menurutnya selain itu proses kelulusan juga akan memberi keyakinan kepada pelabur yang mana kehadiran pelabur baharu akan memberikan satu rekod baharu kepada Malaysia.

Google diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan, Ketua Pegawai Kewangan Ruth Porat; Enovix Corporation diwakili Ketua Pegawai Operasi Ajay Marathe; Microsoft Asia oleh Presiden Ahmed Mazhari manakala TikTok oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Shou Zi Chew.

Kawasan San Francisco Bay menjadi tumpuan banyak syarikat Fortune 500 utama untuk bertapak di sini yang mana kebanyakannya adalah firma inovatif dalam pembangunan Kecerdasan Buatan (AI), bioteknologi, perisian, teknologi bersih dan media sosial.

Perdana Menteri, yang juga merupakan Menteri Kewangan turut menerima kunjungan hormat daripada Rakan Pengasas, Pengerusi Eksekutif dan Pengarah TPG, Jim Coulter. TPG merupakan syarikat pengurusan aset alternatif utama global.

Anwar tiba di sini pada Isnin (13 November) bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (AELM) dari 14-17 November, yang merupakan lawatan sulung beliau bagi mesyuarat Kerjasama Asia Pasifik (APEC) sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Turut hadir semasa mesyuarat itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil; Duta Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz serta para pegawai kanan kerajaan yang lain.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini