comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ekonomi Malaysia berkembang 3.3% pada suku ketiga 2023

Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.3 peratus pada suku ketiga 2023 daripada 2.9 peratus pada suku kedua tahun ini, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh pertumbuhan selanjutnya dari segi guna tenaga dan upah, manakala aktiviti pelaburan disokong oleh kemajuan projek berbilang tahun dan pengembangan kapasiti oleh syarikat.

“Eksport kekal lembap berikutan kelemahan permintaan luaran yang berpanjangan. Bagaimanapun, keadaan ini sebahagiannya diimbangi oleh kemasukan pelancong asing yang kembali pulih.

“Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan, pembinaan dan pertanian terus menyokong pertumbuhan,” katanya pada pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga di sini hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Rasheed berkata, ini sebahagiannya diimbangi oleh penurunan pengeluaran dalam sektor perkilangan disebabkan permintaan yang lemah terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) serta pengeluaran produk petroleum bertapis yang lebih rendah.

Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 2.6 peratus (suku kedua 2023: 1.5 peratus), manakala secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.9 peratus pada tiga suku pertama 2023, katanya.

— BERNAMA

Loading...
Terkini