comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ekonomi Malaysia diunjur sekitar 4% tahun ini, 4-5% pada 2024 – BNM

Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour – Foto: NSTP

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjur berkembang sekitar 4% tahun ini dan 4% hingga 5% pada 2024, meskipun dalam persekitaran global yang mencabar.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata pertumbuhan akan didorong permintaan domestik berikutan prospek pekerjaan dan pendapatan yang stabil.

“Prestasi pertumbuhan ini bersama-sama dengan perkembangan ekonomi akan memberikan sokongan kepada ringgit,” katanya pada sidang media pembentangan KDNK suku ketiga hari ini.

Tambah beliau keadaan kewangan domestik didorong terutamanya jangkaan yang berubah-ubah terhadap landasan dasar monetari global.

Pasaran pekerja Amerika Syarikat (AS) yang kukuh telah menyebabkan jangkaan pendirian dasar yang lebih ketat untuk jangka masa yang lebih lama oleh Rizab Persekutuan dengan kadar faedah AS dan global yang lebih tinggi.

Penambahan nilai dolar AS berlanjutan ke suku ketiga dan menyebabkan nilai ringgit menurun 0.2% seiring dengan penurunan nilai mata wang serantau yang lain.

Bagaimanapun, ringgit meningkat 1.4% berbanding sekumpulan mata wang rakan perdagangan utama, seperti yang ditunjukkan oleh kadar pertukaran efektif nominal ringgit.

Selain itu, pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat kepada 4.2% berbanding 3.7% suku kedua. Ia disokong pertumbuhan lebih tinggi dalam pinjaman perniagaan pada 1.6%, manakala pertumbuhan bon korporat terkumpul kekal pada 5%.

Dalam pada itu, inflasi terus menurun kepada 2% suku ketiga berbanding 2.8% suku kedua. Untuk itu, bagi 2023, inflasi keseluruhan dijangka antara 2.5% hingga 3%.

Pada masa hadapan, risiko terhadap prospek inflasi bergantung pada perubahan dasar berkaitan subsidi dan kawalan harga, serta harga komoditi global dan perkembangan pasaran kewangan.

Loading...
Terkini