comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Eksport Malaysia terus catat pertumbuhan bulan lalu

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Eksport negara terus mencatatkan pertumbuhan apabila berkembang 9.8 peratus kepada RM112.28 bilion pada Februari 2023.

Bulan itu juga memperlihatkan import bertambah 12.4 peratus kepada RM92.71 bilion, menjadikan jumlah perdagangan negara terus kukuh mencatatkan pertumbuhan dua angka, naik 11 peratus kepada RM204.99 bilion berbanding Februari 2022.

Pada Februari 2023, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan yang ke-34 bulan berturut-turut direkodkan sejak Mei 2020, bernilai RM19.56 bilion.

Nilai perdagangan, eksport dan import yang dicatatkan itu juga adalah nilai bulanan tertinggi bagi Februari.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, pertumbuhan eksport disokong oleh eksport yang kukuh bagi keluaran petroleum, barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta gas asli cecair (LNG).

Sementara itu, katanya, eksport ke pasaran utama khasnya ASEAN dan Amerika Syarikat (AS) merekodkan pertumbuhan dua angka.

“Berbanding Januari 2023, lebihan dagangan berkembang 7.9 peratus, manakala perdagangan, eksport dan import masing-masing menyusut sebanyak 1.1 peratus, 0.3 peratus dan 1.9 peratus, berikutan bilangan hari berkerja yang singkat,” katanya.

Bagi tempoh dua bulan pertama 2023, perdagangan berkembang 6.1 peratus kepada RM412.17 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2022.Eksport meningkat 5.4 peratus kepada RM224.93 bilion dan import naik tujuh peratus kepada RM187.24 bilion.

Sementara itu, lebihan dagangan menyusut secara marginal sebanyak 1.8 peratus kepada RM37.69 bilion.

Perdagangan, eksport dan import mencatatkan nilai yang tertinggi bagi tempoh itu.Pada Februari 2023, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 85 peratusan daripada jumlah eksport meningkat sebanyak 9.5 peratus tahun ke tahun kepada RM95.4 bilion.

Peningkatan itu disokong oleh eksport yang kukuh bagi keluaran petroleum dan barangan E&E.

Eksport hasil galian naik 34.8 peratus tahun ke tahun kepada RM9.2 bilion, pertumbuhan dua angka yang ke-23 bulan berturut-turut, disokong oleh kenaikan eksport gas asli cecair (LNG).

Eksport keluaran pertanian berjumlah RM7.16 bilion, menyusut sembilan peratus berbanding Februari 2022 disebabkan oleh pengurangan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pertumbuhan eksport didorong oleh kedua-dua eksport domestik dan eksport semula.

Beliau berkata, eksport domestik kembali mencatatkan peningkatan 3.8 peratus kepada RM87.5 bilion pada Februari 2023.

“Eksport semula yang bernilai RM24.8 bilion dan menyumbang 22.1 peratus kepada jumlah eksport, meningkat 37.6 peratus berbanding Februari 2022. Import meningkat 12.4 peratus daripada RM82.5 bilion kepada RM92.7 bilion,” katanya dalam satu kenyataan berasingan. –BERITA HARIAN

Loading...
Terkini