comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Harga beras dunia turun daripada paras kemuncak

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Harga beras di pasaran global turun sedikit daripada paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun, demikian menurut CGS-CIMB Research.

Ahli Ekonominya, Nazmi Idrus, berkata, harga beras putih lima peratus hancur Thailand susut kepada AS$612 satu tan pada 20 September, berbanding kemuncak AS$648 satu tan pada 9 Ogos lalu.

Walau bagaimanapun, beliau berkata harga beras masih lagi tinggi berbanding purata pada tahun lalu iaitu AS$437 satu tan.”Di peringkat domestik, kerajaan telah meningkatkan usaha untuk menjamin kestabilan bekalan dan harga untuk pengguna, termasuk meningkatkan lebih banyak pengeluaran tempatan, membuat pemeriksaan rawak di pemborong dan mengehadkan pembelian peniaga.

Katanya, Malaysia ketika ini mempunyai stok beras sebanyak 900,000 tan, bersamaan dengan bekalan untuk empat hingga lima bulan.”Secara keseluruhan, impak kenaikan harga beras masih boleh diabaikan terhadap pertumbuhan Indeks Harga Pengguna (IHP) memandangkan wajarannya hanyalah 1.1 peratus. Justeru, kami mengekalkan unjuran IHP bagi 2023 pada 2.8 peratus tahun ke tahun dan unjuran bagi 2024 pada 2.5 peratus tahun ke tahun,” kata Nazmi.

Sementara itu, beliau berkata IHP di Malaysia tidak berubah pada 2.0 peratus bulan lalu, dengan IHP teras terus susut pada 2.5 peratus tahun ke tahun berbanding 2.8 peratus pada Julai.”Harga beras merekodkan pertumbuhan paling tinggi 3.0 peratus, kenaikan tertinggi bagi subkomponen itu sejak 2008. Ini kebanyakannya berikutan larangan eksport oleh India sejak Julai lalu,” katanya.

Nazmi berkata, satu lagi perkembangan adalah kenaikan yang terhad tetapi ketara dari segi kos elektrik iaitu sebanyak 2.0 peratus pada Ogos.”Kami merasakan ini adalah disebabkan oleh pengumuman kerajaan berhubung subsidi tarif elektrik lebih bersasar berkuat kuasa Julai lalu yang menyaksikan satu peratus pengguna mencatatkan purata peningkatan 25 peratus bil elektrik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata komponen pengangkutan tidak mencatatkan peningkatan harga pada bulan lalu, namun kerajaan telah mengumumkan kenaikan harga RON97 sebanyak 10 sen seliter kepada RM3.47 seliter berkuat kuasa pada minggu ketiga September.

| ARTIKEL BERKAITAN:

Loading...
Terkini