comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Harga emas tempatan dijangka naik setinggi 15 peratus – HABIB

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: HABIB menjangkakan harga emas tempatan meningkat di antara 10 peratus hingga 15 peratus menjelang akhir tahun ini.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Datuk Seri Meer Habib, berkata terdapat jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan menurunkan kadar faedahnya tahun ini.

Katanya, jika kadar faedah diturunkan, mungkin orang tidak akan menyimpan duit dalam dolar AS tetapi akan membeli emas, jadi secara tidak langsung akan menaikkan harga emas.

“Selain daripada itu juga di Malaysia (harga emas) bergantung kepada nilai ringgit. Jadi, kita dapat lihat lihat pada hari ini nilai ringgit telah susut kepada RM4.76 berbanding dolar AS, antara kadar paling rendah setakat ini.

“Apabila mata wang kita kurang baik, ia akan menyebabkan harga emas terus meningkat tinggi. Kadang-kadang apa yang berlaku di luar sana, di peringkat antarabangsa mungkin menyebabkan harga (emas) naik.

“Kalau ringgit kukuh mungkin (harga emas) tidak naik begitu banyak. Namun, secara keseluruhan kita dapat lihat harga emas sedang naik,” katanya kepada media ketika ditemui selepas majlis pecah tanah pembangunan gedung utama HABIB di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa yang diiringi Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini