comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lapan penyamun larikan barang kemas 3.5kg dan wang RM5,000

Foto hiasan
PETALING JAYA : Barang kemas dianggarkan seberat 3.5 kilogram (kg) dan wang tunai berjumlah RM5,000 dilarikan sekumpulan lapan penyamun dari sebuah kediaman di Taman Bukit Kinrara, Puchong, dekat sini, awal pagi tadi.
Terdahulu dalam kejadian kira-kira jam 4.10 pagi, seorang pekerja kedai runcit didatangi kumpulan suspek lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang, memakai baju lengan panjang serta sarung tangan, ketika berada di pekarangan rumahnya.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, berkata seorang daripada suspek kemudian menumbuk muka mangsa beberapa kali.
Mangsa dibawa masuk ke dalam rumah dan dipaksa menunjukkan tempat wang disimpan.
“Ibu mangsa yang berada di dalam rumah itu turut dipaksa menanggalkan barang kemas yang dipakai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Anbalagan berkata, suspek menyelongkar setiap bilik di dalam rumah mangsa sebelum melarikan diri.
“Hasil siasatan awal polis mendapati kerugian dialami adalah dua beg mengandungi barang kemas dianggarkan seberat 3.5kg dan wang tunai berjumlah RM5,000,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan diminta menghubungi pihak polis.
Loading...
Terkini