comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kedai Emas Disamun, Kerugian Dianggarkan Lebih Setengah Sejuta

IPOH: Tiga pekerja sebuah kedai emas berdepan detik cemas sewaktu baru memulakan operasi perniagaan apabila disamun dua lelaki yang melarikan barang kemas dan wang tunai bernilai kira-kira RM660,000 dalam satu rompakan di Selasar Rokam, Taman Ipoh Jaya di sini hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya dimaklumkan mengenai rompakan itu kira-kira 10.15 pagi dan polis bergegas ke tempat kejadian untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati dua lelaki telah mengacukan senjata menyerupai pistol kepada tiga pekerja semasa mereka hendak membuka kedai lalu melarikan sejumlah barang kemas dan wang tunai.

Namun ketiga-tiga mangsa tidak mengalami kecederaan semasa kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pihaknya sedang giat memburu dua suspek berkenaan dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Fadli Ahmad 019-2500019 untuk membantu siasatan polis.

Tinjauan Bernama ditempat kejadian mendapati pasukan forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi tersebut yang terletak dalam kawasan lot perniagaan. – BERNAMA

Loading...
Terkini