comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Harga jualan simen susut 5% bulan lalu

FOTO : NSTP

KUALA LUMPUR : Harga jualan purata (ASP) bagi simen pukal menyusut lima peratus bulan ke bulan kepada RM371 satu tan pada April.

Penganalisis RHB Investment Bank, Oong Chun Sung berkata, berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pengeluaran simen mencecah sejumlah 2.7 juta tan pada Mac, iaitu peningkatan daripada 2.5 juta tan pada Februari dan melangkaui purata bulanan prapandemik iaitu  1.3 juta tan.

“Walaupun kami berpendapat ASP simen yang tinggi ini tidak akan berterusan dalam jangka lebih panjang, perolehan pengeluar simen dapat disokong oleh jumlah jualan yang tinggi, diperkukuh oleh projek-projek pembinaan yang sedang dijalankan,” katanya dalam nota penyelidikan.

Bulan lalu, Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia (C&CA) turut mengambil inisiatif menawarkan satu juta tan metrik simen pukal pada harga RM290 satu tan di bawah Inisiatif Skim Simen Rahmah untuk pemaju perumahan swasta mampu milik, berbanding harga pasaran pada masa itu, RM410.

Penurunan  RM120 setiap tan metrik itu bersamaan insentif 29.3 peratus daripada pembekal simen.

Mengenai trend bahan binaan iaitu aluminium, Chun Sung berkata meskipun syarikat peleburan di Eropah Barat mungkin tidak akan pulih dalam tempoh terdekat akibat harga logam itu yang tidak menentu, bekalan kuasa tidak konsisten dan proses pembukaan semula operasi loji yang renyah, kekurangan pengeluaran dari Eropah tidak memberi impak besar kerana sumbangannya kepada bekalan global adalah rendah iaitu empat peratus.

Beliau berkata, perkembangan itu juga dapat disokong oleh pemulihan bekalan dari China kerana wilayah-wilayah barat daya di China seperti Huizhou, Sichuan, dan Guangzhou telah menyambung semula kegiatan peleburan.

Manakala wilayah Yunnan dijangka memulakan semula kegiatan peleburan apabila musim hujan bulan depan.

“Kapasiti yang dijangka dari China mungkin menyebabkan lebihan aluminium untuk 2024 hingga 2025. Sebagai pengguna dan pengeluar aluminium terbesar dunia, tahap penggunaan logam perindustrian China masih kurang, dengan kegiatan pembinaan yang perlahan bulan ke bulan memburukkan lagi kekhuatiran mengenai prospek permintaan logam,” katanya.

Chun Sung yang menghadiri Persidangan Logam Asia dianjurkan oleh London Metal Exchange (LME)  16 Mei lalu mengekalkan saranan ‘wajaran tinggi’ terhadap sektor bahan asas dengan pilihan utama saham ialah Press Metal.

Loading...
Terkini