comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Harga runcit RON97 berpotensi meningkat lagi – Penganalisis

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga minyak mentah Brent baru-baru ini berkemungkinan memberikan kesan kepada harga runcit bahan api, khususnya RON97.

Penganalisis TA Securities, Farid Burhanuddin, berkata lonjakan harga minyak mentah itu disebabkan pemotongan pengeluaran oleh Arab Saudi dan Russia, selain permintaan yang semakin meningkat dari China seterusnya menyaksikan harga Brent konsisten didagangkan kekal melebihi AS$90 setong sejak awal bulan ini.

“Walaupun keadaan ini disifatkan sederhana, terdapat potensi untuk meningkatkan inflasi dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya dalam satu nota penyelidikan.Bagi tempoh 21 hingga 27 September 2023, harga RON95 dan diesel kekal tidak berubah masing-masing RM2.05 dan RM2.15 seliter, manakala RON97 meningkat sebanyak 10 sen kepada RM3.47 seliter.

Inflasi Malaysia kekal stabil kepada 2.0 peratus pada Ogos sejajar dengan jangkaan konsensus kebanyakan penganalisis.Paras inflasi pada bulan dikaji adalah lebih rendah di bawah kadar purata inflasi jangka panjang 2.1 peratus direkodkan antara Januari 2010 hingga Ogos 2023.

Sebahagian daripada penyederhanaan dalam inflasi boleh dikaitkan dengan kesan asas yang tinggi, selepas Indeks Harga Pengguna (IHP) menyaksikan peningkatan ketara sebanyak 4.7 peratus pada Ogos tahun lalu, paras tertinggi sejak Mac 2017.Melihat pada asas bulanan, inflasi di Malaysia meningkat sebanyak 0.2 peratus, berbanding peningkatan 0.1 peratus pada bulan sebelumnya.

Sementara itu, Penganalisis Public Investment Bank Bhd, Sabrina Edora, berkata berdasarkan simulasi bank pelaburan itu, harga sebenar RON95 tanpa subsidi berada pada RM3.51 seliter, jauh lebih tinggi berbanding harga runcit semasa RM2.05.”Penamatan pemberian subsidi bahan api untuk kumpulan pendapatan T20 dijangka memberikan kesan inflasi tahunan tambahan antara 0.40 hingga 0.80 mata peratusan,” katanya.

Dalam pada itu, Farid berkata, kenaikan harga beras import baru-baru ini mampu memberi tekanan kepada inflasi utama, namun ia dapat diuruskan.Katanya, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, harga beras putih tempatan tidak meningkat dan kerajaan akan terus mengehadkan harga beras putih tempatan pada RM2.60 sekilogram, paras terendah di rantau ini.”Beras, sebagai sub-segmen, menyumbang hanya 1.1 peratus kepada jumlah bakul IHP.

Walaupun kesan keseluruhan mungkin kelihatan kecil, kita juga harus mempertimbangkan potensi kesan yang meningkat kerana kemungkinan besar harga makanan di luar rumah akan meningkat.”Selain itu, tindakan yang mungkin diambil oleh penjual untuk melaraskan harga dalam pelbagai segmen berkaitan makanan tidak diambil kira,” katanya.

Loading...
Terkini