comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK Pelangai: Kemenangan BN sudah dijangka walau majoriti susut – Penganalisis

Calon Barisan Nasional, Datuk Amizar Abu Adam diisytiharkan sebagai pemenang pada Pilihanraya Kecil N36 DUN Pelangai-NSTP

KUANTAN: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai tidak mengejutkan dan sudah dijangka walaupun majoriti yang diperoleh berkurangan, menurut penganalisis politik.

Calon BN, Datuk Amizar Abu Adam menang dengan majoriti 2,949 undi selepas memperoleh 7,324 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni yang hanya meraih 47 undi.

Jumlah majoriti undi itu berkurangan berbanding 4,048 undi diperoleh Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang mewakili BN dalam persaingan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis Sosiopolitik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata kemenangan BN itu menunjukkan warga Pelangai menghargai usaha Allahyarham Johari yang telah merangka pelbagai perancangan dalam tempoh singkat berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas PRU15.

Beliau berkata kemenangan itu juga ekoran kesedaran perlunya sinergi antara Kerajaan Pusat dan negeri dalam memastikan kesinambungan khidmat dan usaha penyandang kerusi DUN itu sebelum ini dapat diteruskan tanpa masalah.

“Jadi, antara tugasan utama yang perlu dilaksanakan Amizar ialah memastikan legasi Allahyarham tidak dihentikan, antara yang perlu dilihat secara serius ialah hal berkaitan infrastruktur seperti lampu jalan, akses laluan yang lebih selamat ke Pelangai dan jalur lebar internet,” katanya kepada BERNAMA.

Selain itu, Awang Azman berkata kemenangan itu juga secara tidak langsung menunjukkan penerimaan rakyat terutamanya penyokong BN terhadap Kerajaan Perpaduan yang dibentuk bersama Pakatan Harapan (PH) khususnya di Pahang.

“Ia juga memberi keabsahan lebih besar terhadap pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan, seterusnya membolehkan BN dan PH lebih fokus dalam mengemudi negeri dan negara dan tidak perlu hilang fokus kerana sibuk menjawab tohmahan dan permainan sentimen pihak lawan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan kemenangan BN menunjukkan tidak semua undi Melayu berubah kepada PN untuk mewujudkan apa yang dikatakan sebagai “gelombang hijau”.

“Kemenangan BN menunjukkan templat di tempat lain tidak boleh dibawa di Pelangai. Walaupun ada isu seperti pembangunan dengan ada yang membandingkan kawasan itu dengan kawasan sekitar, namun mereka selesa dengan kehidupan terutamanya kepada orang lama,” katanya.

Kemenangan Amizar, 53, yang merupakan anak jati FELDA Chemomoi memastikan DUN Pelangai, yang terletak kira-kira 200 kilometer dari Kuantan, kekal sebagai kubu kuat BN di Pahang sejak 1986.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu selepas Johari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Sementara itu, Institut Darul Ehsan (IDE) dalam kajiannya mendapati undi BN jika dibandingkan dengan undi BN PRU15, wujud kenaikan.

Namun jika jumlah undi BN ditambah undi PH pada PRU15 secara perbandingan dengan perolehan undi PRK, wujud kemerosotan undi.

Faktor perbezaan ini disebabkan oleh perbezaan peratusan turun mengundi antara PRK ini iaitu 72 peratus manakala pada PRU15 peratusan mengundi ialah 78.4 peratus-BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini