comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Masih tiada EV harga rendah di Malaysia – Penganalisis

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pasaran automotif Malaysia belum memiliki kereta elektrik (EV) berharga rendah sebagai mana di Thailand dan Indonesia berikutan syarat Permit Diluluskan (AP) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang menetapkan EV di bawah RM100,000 tidak dibenarkan diimport.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Jim Lim Khai Xhiang, berkata bank pelaburan itu percaya, syarat yang ditetapkan MITI adalah untuk melindungi jenama nasional iaitu PROTON dan PERODUA, sementara menunggu jenama nasional itu membangunkan EV masing-masing.

Justeru, katanya, EV paling murah di Malaysia masih kekal dimiliki oleh Neta V keluaran Hozon New Energy Automobile yang diedar oleh anak syarikat Go Auto Group Sdn Bhd, Intro Synergy Sdn Bhd yang dijual pada harga RM99,800 (harga atas jalan tanpa insurans).

“Meskipun Wuling Air keluaran Indonesia dijual di Thailand dan Indonesia, masing-masing pada harga RM52,000 dan RM70,000, tiada EV di Malaysia yang dijual pada harga sebegitu rendah.

“Hal ini berpunca daripada syarat AP oleh MITI yang menetapkan bahawa EV yang berharga bawah RM100,000 (harga atas jalan dengan insurans) tidak dibenarkan untuk diimport.

“Kami percaya dasar ini ditetapkan demi melindung jenama nasional sementara syarikat ini membangunkan EV masing-masing,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Sementara itu, Khai Xhiang berkata, dengan beberapa siri pelancaran model EV baharu, RHB Investment Bank berpendapat Tesla Model Y paling menonjol berikutan harganya menarik dan ia mungkin meningkatkan persaingan dengan jenama lain.

“Meskipun adanya insentif untuk menggalakkan penggunaan EV di Malaysia, buat masa ini tiada EV yang berharga bawah RM100,000 (atas jalan dengan insurans) kerana dasar AP MITI. Meskipun penggunaan EV akan terus berkembang, ia belum mencapai tahap yang dapat meningkatkan jumlah keseluruhan industri (TIV) dengan ketara,” katanya.

Beliau berkata, Tesla menembusi pasaran Malaysia dengan kereta terlarisnya dan ia sudah mula mengambil pesanan untuk Model Y.

Loading...
Terkini