comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Harga sawit dijangka didagang antara RM3,800-RM4,000 satu tan – MPOB

Foto hiasan

Oleh: Suzila Idayu Yaacob 

BANGI: Harga minyak sawit tempatan dijangka didagang antara RM3, 800 hingga RM4,000 satu tan pada separuh kedua tahun ini.

Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata julat harga itu adalah wajar dan sesuai untuk pengeluar dan pengguna.

“Faktor luaran banyak mempengaruhi harga termasuk import duti daripada India, polisi yang dikeluarkan kerajaan Indonesia sama ada kerajaan negara berkenaan memberi kebenaran untuk Malaysia eksport atau tidak. Ia juga bergantung jugak kepada masalah peperangan Ukraine-Rusia sebab itu adalah pengeluar terbesar bagi minyak bunga matahari. Jadi banyak faktor dibawah kawalan kita,” katanya selepas majlis perasmian Program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT) MPOB 2023.

Sejak beberapa minggu lalu, harga minyak sawit dilihat berada dalam aliran menaik, berbanding beberapa bulan lalu yang hanya sekitar RM3,300.

Jelas beliau, impak mengenai kadar pertukaran mata wang pula adalah sangat minimum walaupun ringgit ketika ini diniagakan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat.

Harga itu juga bersandarkan permintaan dan bekalan, selain daripada faktor pengurangan pengeluaran minyak soya.

Dari segi eksport, minyak sawit menjadi eksport ketiga terbesar dengan menjana pulangan nilai eksport RM137.89 bilion pada 2022.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan komited dalam menerajui kemapanan industri sawit termasuk mengehadkan keluasan kawasan tanaman sawit negara.

Dalam ucapan beliau yang dibacakan Datuk Mohamad Helmy, katanya usaha kini difokuskan kepada kawasan tanaman sedia ada melalui aktiviti penanaman semula menggunakan baka yang akan memberikan hasil tinggi dan menerusi amalan pertanian baik.

Loading...
Terkini