comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Indeks Utama Bursa Malaysia turun 0.42 peratus susulan pengambilan untung

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia menongkah arus aliran serantau hari ini apabila indeks petunjuk pasaran ditutup pada paras terendah intra harinya di tengah-tengah aktiviti pengambilan untung selepas mencatatkan kenaikan kukuh semalam.

Bursa tempatan bermula kukuh minggu ini apabila ditutup tinggi pada Isnin mendapat rangsangan daripada momentum positif yang berterusan dengan FBM KLCI naik 0.48 peratus disokong oleh minat belian dalam saham utiliti dan telekomunikasi, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 6.69 mata atau 0.42 peratus kepada 1,575.97 daripada paras penutup 1,582.66 pada Isnin.

Indeks utama itu dibuka tinggi naik 0.92 mata kepada 1,583.58 dan mencecah paras tertinggi intra hari pada 1,589.06 dalam sesi dagangan pagi.

Bagaimanapun, di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 524 berbanding 521, manakala 493 kaunter tidak berubah, 799 tidak diniagakan dan 74 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 4.18 bilion unit bernilai RM3.75 bilion daripada 4.24 bilion unit bernilai RM3.25 bilion pada Isnin.

Seorang peniaga berkata Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini tetapi susut semula pada tengah hari susulan pengambilan untung.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama serantau kebanyakannya ditutup tinggi susulan sentimen positif di Wall Street semalaman memandangkan pendapatan korporat yang menggalakkan dan ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang makin mengendur.

“Kami percaya pengambilan untung dalam pasaran ekuiti tempatan adalah sihat kerana ia membolehkan pasaran mencerna aliran meningkat baru-baru ini. Kami mengekalkan sasaran mingguan FBM KLCI kami pada 1,570 hingga 1,590 dengan paras rintangan segera pada 1,590 dan paras sokongan pada 1,560,” katanya kepada Bernama. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini